KUALA TERENGGANU, 5 Mei – Terengganu diperuntukkan sebanyak sembilan projek dibawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) setakat April lalu dengan anggaran kos RM22.85 juta.
Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni Dan Budaya Malaysia (MOTAC), Dato’ Shaharuddin Abu Sohot berkata, peruntukan berkenaan melibatkan usaha membina dan menaik taraf beberapa kemudahan pelancongan di negeri tersebut.

“Juga melibatkan projek naik taraf kemudahan pelancongan sedia ada di Hulu Kekabu, Mukim Guntung, Setiu selain menambahbaik keseluruhan papan tanda dan laluan dalam Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Projek Membina Dan Menaik Taraf Kampung Budaya Terengganu di Dewan Laman Warisan, Kampung Budaya Terengganu di sini, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Sulaiman Sulong, Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Dato’ Tengku Mohd Arifin Tengku A. Rahman serta Timbalan Pengarah JKR Negeri Terengganu, Anuar Mohd Azlan.

Katanya, antara projek yang diberi penekanan adalah pembinaan dan menaik taraf Kampung Budaya Terengganu.
“Projek berkenaan yang menelan kos RM5.5 juta diluluskan di bawah Peruntukan Mengurus Khas Kementerian Kewangan Malaysia (Covid-19) pada 2021,” ujarnya.

“Komitmen dan dedikasi yang ditunjukkan amatlah dihargai. Projek membina dan menaik taraf Kampung Budaya Terengganu ini bukan sekadar pembangunan fizikal semata-mata, tetapi merupakan satu usaha penting dalam memelihara, memartabat dan memperkukuhkan warisan budaya Negeri Terengganu.
“Kampung Budaya Terengganu berperanan sebagai platform untuk memperkenalkan keunikan seni, adat resam, seni bina tradisional serta cara hidup masyarakat tempatan kepada generasi kini dan akan datang,” ujarnya.
Katanya, dengan penambahbaikan kemudahan dan infrastruktur yang lebih moden, selamat serta selesa, Kementerian yakin Kampung Budaya Terengganu akan menjadi destinasi pelancongan budaya yang lebih menarik dan berdaya saing, seterusnya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi setempat dan industri pelancongan negeri.
Tag :