Terengganu Peruntuk RM6 Juta Bantu Pelajar Sambung Master, PhD
MPD Anjur Program Bersih Pantai di Dungun
DUNGUN, 28 September - Majlis Perbandaran Dungun (MPD) mengadakan aktiviti gotong-royong bersih Pantai peringkat Daerah Dungun di persisiran Pantai Sura, Dungun hari ini.
Program tersebut dirasmikan oleh Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli.
Wan Hassan berkata amalan seperti menjaga kebersihan alam sekitar dan kelestarian bumi adalah contoh amalan sangat baik.
"Ini kerana kita bukan sahaja menjalankan amanah sebagai khalifah di bumi Allah, kita juga memudahkan urusan orang lain selain kita.
"Pelaksanaan program ini akan memberi impak dalam usaha melestarikan alam sekitar kita dan membantu menyumbang kepada pencapaian negara bagi The Malaysian Book of Records," katanya dalam program terbabit.
Turut hadir ADUN Sura, Dr Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Mohd Fauzi.
Katanya lagi, program itu juga dapat memupuk amalan menjaga kebersihan dan mewujudkan persekitaran yang bersih dan sihat khususnya di kawasan tumpuan awam.
"Jika kita lihat pada hari ini, sektor ekonomi Dungun telah menunjukkan pertumbuhan yang memberangsangkan.
"Pembangunan infrastruktur, seperti jalan raya dan kemudahan asas telah membuka peluang kepada perniagaan baru sehingga menjadikan Dungun semakin membangun dengan pesat mengikut peredaran terkini.
"Saya yakin dengan program seperti ini bukan sahaja akan membantu menyumbang kepada penilaian kebersihan, malah meningkatkan mutu keselesaan penduduk di kawasan Dungun dan menjadikan Daerah Dungun sebagai lokasi pelancongan yang menjadi tumpuan para pelancong dari dalam dan luar negeri."
"Setinggi-tinggi ucapan tahniah dan terima kasih atas komitmen dan kerjasama yang diberikan untuk menjayakan majlis pada hari ini.
"Terutama kepada Majlis Perbandaran Dungun sebagai peneraju program dengan kerjasama rakan strategik yang terdiri daripada agensi kerajaan, JPKK, NGO (Geng Plastik Ija) dan syarikat-syarikat swasta serta orang awam terlibat dalam menjayakan program ini," jelasnya.