Semua Mangsa Banjir Terima Layanan Baik

Oleh : Fatimah Din

MARANG, 3 Disember - Walaupun penat dan terpaksa berhadapan dengan pelbagai kerenah mangsa banjir yang berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS), ia tidak dijadikan alasan oleh para petugas untuk tidak memberikan layanan yang terbaik kepada mangsa banjir.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong berkata, keadaan itu dapat dilihat sepanjang beliau melakukan tinjauan serta melawat PPS dan situasi itu memberikan keselesaan kepada mereka yang berada di situ.

"Malah mereka turut memuji makanan yang disediakan dikatakan sedap untuk dimakan selain menerima layanan yang baik daripada setiap petugas," ujarnya ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) ketika mengadakan lawatan di situ, baru-baru ini. 

Mengulas lebih lanjut, petugas yang dimaksudkan itu adalah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), anggota rela dan juga Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK).

"Kesemua mereka telah bertungkus lumus bagi memastikan keadaan terkawal sepanjang masa berlakunya bencana banjir.

"Mudah-mudahan ia dikira sebagai amal ibadat yang dihitung sebagai amanah yang akan dipertanggungjawabkan," katanya.

Untuk rekod, semalam masih mencatatkan 209 keluarga di Seluruh Marang masih berada di sembilan PPS.