Senyum Lebar, 320 Orang Bersyukur Genggam Geran Tanah

SETIU, 28 Mei -  Seramai 320 orang penerima geran tanah bergembira dan bersyukur setelah penantian bertahun lamanya untuk mengenggam geran tanah akhirnya tercapai dan menganggap ia merupakan hadiah istimewa dari kerajaan negeri, yang telah mengotakan janjinya selama ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata pemberian ini bukanlah pertama kali dibuat setelah mengambil alih kepimpinan kerajaan negeri malah telah berulang kali  diadakan pengagihan geran seperti ini kepada penerima-penerima.

"Tahniah kepada semua penerima. Rakyat senyum kita tumpang gembira. Banyak kali dah kita buat program agih geran tanah di Setiu. Pagi ini sejumlah 320 lagi Geran Hak Milik Tanah sudah berada dalam tangan  penerima dari Dun Langkap dan Permaisuri Setiu. Ia sebahagian dari usaha keras kumpulan kami untuk menyelesaikan isu-isu tanah di Daerah Setiu.

"Isu-isu berkaitan hak milik tanah memang tak akan mampu diselesaikan 100% kerana ia suatu urusan yang sentiasa timbul dan berbangkit. Kalau selesai sepenuhnya ia bermakna kita boleh tutup Pejabat Tanah,"ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Penyerahan Dokumen Hak Milik Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Daerah Setiu bagi tahun 2022, di Dewan Terbuka Sungai Tarom, Setiu.

Turut hadir Pegawai Daerah Setiu, Rosli Latif, Pegawai Penyelaras Langkap, Azmi Maarof serta Pengawai Penyelaras Permaisuri, Ustaz Zul Bahri.dir Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir.

"Contohnya kita bagi hak milik sebidang tanah kepada seseorang. Selepas itu mungkin ada urusan tukar syarat guna tanah, pecah lot, pindah hak milik, jual beli dan bila tuan meninggal jadi faraid pula. Begitulah seterusnya dan seterusnya sehingga kiamat. Sebab itu ambe berani kata, siapa yang boleh selesai sepenuhnya hal tanah, dia adalah insan ajaib yang mungkin bukan berasal dari planet bumi ini,"ujarnya.