Pukul OKU : 'Lelaki Berbaju Hijau Adalah Saya' - Exco Bidas Fitnah Jijik
KEMAMAN, 20 Januari - Serahkan kepada pihak polis menjalankan siasatan dan mahkamah mengadili dengan sebaik-baiknya, demikian ujar EXCO Kerajaan Terengganu.
Hanafiah Mat yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai mengharapkan kejadian seperti Jumaat lalu melibatkan seorang lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) mental dipukul oleh beberapa individu di Pasar Tani Padang Astaka, Cukai tidak akan berulang lagi.
"Mereka yang ada ahli keluarga mempunyai masalah mental perlulah memberikan perhatian dan menjaganya dengan baik serta manfaatkan dengan sebaiknya ubat yang dibekalkan oleh pihak doktor.
"Saya juga menyeru kepada seluruh masyarakat kita ini agar mempunyai etika kehidupan yang lebih berhemah dan tidak melepaskan geram terutama di khalayak ramai serta perlu mempunyai sifat-sifat kesabaran dan memaafkan dengan apa yang berlaku," katanya ketika ditemui pemberita, hari ini.
Katanya lagi, walaupun dalam keadaan spontan dan rasa sangat marah, janganlah mengambil tindakan yang dilihat seperti ganas yang boleh mendatangkan kegusaran dan kebimbangan di kalangan masyarakat.
"Jadi saya harap peristiwa yang berlaku ini akan menjadi satu pengajaran ataupun pedoman kepada masyarakat khususnya di Kemaman dan juga seluruh negeri Terengganu, ujarnya.
Dalam pada itu Hanafiah turut mengingatkan kepada semua pihak agar tidak menjadikan isu ini sebagai isu politik kerana kerajaan negeri sentiasa memberi perhatian kepada semua golongan samada OKU, persatuan penjaja ataupun pertubuhan bukan kerajaan (NGO).