lightning-solid
Berita :
Setelah 40 Tahun Menanti, Pok Jo Teruja Miliki Geran Tapak Kediaman
Setelah 40 Tahun Menanti, Pok Jo Teruja Miliki Geran Tapak Kediaman
Muhammad Fakhruddin Bin Nordin
1 jam yang lepas
35

KEMAMAN, 16 Ogos – Selepas menanti selama 40 tahun, impian Wan Zull Paka Abdullah, atau lebih mesra disapa Pok Jo, untuk memiliki hak milik tapak kediaman akhirnya menjadi kenyataan.

Bagi warga DUN Kijal itu, penyerahan dokumen hak milik hari ini menjadi detik bermakna selepas sekian lama menunggu kepastian terhadap tanah yang menjadi tempat beliau dan keluarga membina kehidupan.

Pok Jo antara penerima pada Majlis Penyerahan Dokumen Hak Milik dan Notis Borang 5A RTB Tapak Bangunan Kediaman dan RTB Tapak Pertanian DUN Kijal di Dewan Felcra Seri Bandi, di sini, hari ini.

ADUN Kijal, Datuk Razali Idris berkata, usaha menyelesaikan urusan hak milik tanah amat penting kerana sebahagian peserta telah menunggu sejak tahun 1980.

“Kita amat memahami bahawa para peserta telah menunggu sejak tahun 1980, iaitu selama 46 tahun. Tempoh ini bukanlah singkat dan sebab itu usaha penyerahan serta penyelesaian hak milik ini amat penting buat kita semua.

“Yang lebih penting, usaha ini bukan hanya melibatkan generasi pertama, tetapi turut memberi ruang kepada generasi kedua untuk meneruskan pusingan dan skim ladang yang telah dibangunkan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis berkenaan yang menyaksikan 148 penerima dokumen hak milik sementara, manakala 113 penerima Notis Borang 5A.

Menurut Razali, bagi Susur Atur Felcra Seri Bandi, sebanyak 113 peserta terlibat dengan 106 unit rumah telah dibina, manakala tujuh lot masih belum mempunyai rumah.

Dalam pada itu, RTB Belia Seri Bandi Fasa 1 melibatkan 381 lot, manakala Fasa 2 dan Fasa 3 masing-masing melibatkan 159 dan 208 lot, menjadikan keseluruhan projek RTB sebanyak 748 lot.

Bagi Pok Jo dan penerima lain, penyerahan dokumen ini bukan sekadar urusan tanah, tetapi menjadi simbol sebuah penantian panjang yang akhirnya menemui penghujung.


Tag :

Artikel Berkaitan