Pentadbiran Masjid Perlu Lapor Jika Ada Ajaran Meragukan - Sultan Mizan
Setengah Abad Rempah Cap Bunga Ros
Menguruskan perniagaan keluarga bukannya tugas mudah, lebih-lebih lagi dalam usaha mempertahan dan mengembangkan perusahaan yang berusia hampir setengah abad.
Namun, semua itu tidak dapat ditandingi dengan usaha dan jerit perih diharungi ibu bapa mereka pada awal penubuhan Syarikat Hassan Majid Sdn. Bhd, pengeluar produk rempah masakan jenama Cap Bunga Ros.
Pengarahnya, Mohd Zulpian Hassan berkata, dengan menjadikan kegigihan orang tua mereka sebagai sumber inspirasi dan bersandarkan sikap tidak mudah putus asa serta kerjasama erat mereka sebelas beradik, kini Rempah Cap Bunga Ros bukan sahaja menjadi pilihan utama rakyat Terengganu malah turut dipasarkan secara meluas ke seluruh negeri.
Pengarahnya, Mohd Zulpian Hassan berkata, dengan menjadikan kegigihan orang tua mereka sebagai sumber inspirasi dan bersandarkan sikap tidak mudah putus asa serta kerjasama erat mereka sebelas beradik, kini Rempah Cap Bunga Ros bukan sahaja menjadi pilihan utama rakyat Terengganu malah turut dipasarkan secara meluas ke seluruh negeri.
Menceritakan bagaimana perusahaan ini bermula, Mohd Zulpian berkata, semuanya dibuat secara kecil-kecilan.
“Rempah Cap Bunga Ros bermula kira-kira 48 tahun lalu iaitu pada 1968. Pada masa itu, emak saya, Hajah Kembang Abd Rahman hanya membuatnya dirumah untuk dijual kepada jiran, rakan dan sanak saudara.
“Pada masa sama, arwah ayah, Haji Hassan Majid turut jual di pasar berdekatan dengan menunggang basikal. Selepas mendapat reaksi positif daripada orang ramai, maka dari situ bermulalah pelbagai inisiatif dilakukan oleh emak terutamanya dalam mencipta resipi tersendiri bagi mengkormesialkan rempah buatannya,” ujarnya.
Katanya, berkat kesabaran dan kerja keras, perusahaan Syarikat Hassan Majid Sdn. Bhd yang beroperasi di No.158-A Kampung Kepong, Kuala Terengganu akhirnya berjaya mengeluarkan rempah masak dan rempah gulai yang diproses menjadi kering dalam bentuk serbuk sehingga popular di negeri ini dan menepati citarasa ramai.
Menurut Mohd Zulpian, rempah masak produk keluarganya dijual di pasaran dengan harga 50 sen sepaket bagi seberat 12 gram, RM1.00 (25 gram) dan RM4.50 (105 gram).
Sementara rempah gulai dengan harga 50 sen sepaket bagi seberat 15 gram, RM1.00 (35 gram) dan RM4.50 (205 gram).
Katanya, selain dua jenis rempah tersebut, syarikat keluarganya itu turut memproses serbuk kacang hijau yang dijual dengan harga RM6.00 sepaket bagi berat 400 gram.
Mohd Zulpian berkata, selain dijual secara borong untuk pasaran Terengganu dan Pahang, mereka juga memasarkan secara dalam talian dan mendapat permintaan memberansangkan dari seluruh negeri termasuk Sabah dan Sarawak.
“Kami mementingkan kualiti dalam proses penghasilan produk dimana tidak memasukkan sebarang campuran dan hanya mengunakan bahan mentah asli untuk memastikannya bermutu tinggi. Sekarang ini, seramai 30 pekerja diupah bagi melancarkan operasi syarikat termasuk urusan pembuatan rempah, pembungkusan serta pengedaran.
Kami turut menitikberatkan kebersihan semasa proses pembuatan dan syarikat ini telah mendapat pengiktirafan halal JAKIM,” ujarnya yang turut memaparkan cara penggunaan dan resepi pilihan di setiap paket rempah dijual.
Lebih unik katanya, paket rempah masak dan gulai yang dijual dengan harga 50 sen tidak pernah diubah untuk mengekalkan identitinya.
“Kita pernah bercadang untuk mengubahnya tetapi pelanggan tidak berpuas hati kerana boleh mengelirukan mereka. Oleh itu, kita ambil inisiatif untuk terus kekalkan penggunaan warna putih dan merah yang sinonim dengan Rempah Cap Bunga Ros bersaiz kecil.” jelasnya.
Seperti pengusaha lain, Mohd Zulpian berkata, beliau dan adik beradiknya mempunyai wawasan untuk terus maju dalam bidang keusahawan yang mereka warisi.
‘Kami berhasrat untuk memasarkan produk Syarikat Hassan Majid Sdn. Bhd sehingga menembusi pasaran dunia dan bercadang menghasilkan rempah dalam bentuk pes tidak lama lagi,” katanya.