Setiausaha Politik PM Tunai Janji Bawa GurunyaTunai Ibadat Haji


Setiausaha Politik Kepada YAB Perdana Menteri,  Dato' Jailani Ngah hari ini menunaikan janjinya untuk membawa bekas gurunya, Ustaz Syed Abd Hamid Syed Ali, 58 tahun menunaikan ibadat haji tahun ini.

Hadiah istimewa diberikan di bawah kuotanya selaku Pengerusi Yayasan 1 Ummah.

Jailani berkunjung sendiri ke rumah bekas guru agama dan bahasa Arabnya di Telok Ketapang  bagi menyerahkan cek tajaan kepada pesara guru itu yang telahpun mendaftar dengan Tabung Haji.


Abd Hamid menyifatkan inilah hadiah paling bermakna dalam hidup apabila hasratnya ingin menunaikan ibadah haji tercapai dengan perkhabaran gembira semasa hari guru 16 Mei baru-baru ini yang dibawakan bekas pelajarnya yang juga Setiausaha Politik Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak.

Bekas guru berkenaan bersyukur dan berterima kasih kerana Jailani  yang sanggup hadir  ke rumahnya bagi menyampaikan cek tajaan menunai haji di samping kuota yang diberikan oleh bekas muridnya itu.

 "Sebelum ini pada mulanya saya hanya berbual dan menyatakan hasrat untuk menunaikan haji, dan saya tidak menyangka beliau terus menawarkan saya untuk menunaikan ibadah haji dengan menggunakan kuotanya pada tahun ini serta tajaan Yayasan 1 Ummah yang menganjurkan haji dan umrah setiap tahun kepada golongan yang difikirkan layak, "katanya.

Sementara itu, Jailani berkata, sumbangan yang diberikan itu kecil berbanding jasa gurunya tidak dapat dibalas kerana ia cukup besar dan bermakna buat dirinya dan baginya Abd Hamid cukup istimewa kerana mendidik secara mudah, pandai dan kelakar dalam menyampaikan ilmu menyebabkan pelajar tidak rasa jemu.

Sekolah Menengah Agama Batu Rakit  kini telah dijadikan oleh kerajaan negeri sebagai Sekolah Pondok Moden.

Hadir sama bersama Jailani ke rumah bekas gurunya itu ialah rakan sekelasnya yang juga murid kepada Abd Hamid,Penolong Pengarah Yayasan Terengganu, Mohd Zaki Yakim dan  Jurufoto Unit Komunikasi Negeri Terengganu, Haris Fadzillah Abu Kasim.


Tag: