• 16 Sept 2024 | 12 Rabiul Awal 1446

SG4 Komited Capai Aspirasi Negara

KEMAMAN, 5 September- Kerajaan Terengganu komited terhadap segala perancangan pembangunan ekonomi di bawah kerajaan empat negeri ditadbir oleh PAS atau 'State-Goverment 4' (SG4).

Pengerusi Majlis Menteri Besar SG4, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, perbincangan bersama ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) di empat negeri SG4 iaitu Terengganu, Kelantan, Perlis dan Kedah telah diadakan bagi merangka strategi seterusnya dalam memastikan apa yang dirancang dapat dijayakan.

“Baru beberapa hari kita lancarkan SG4 selepas tercetusnya idea ini sejak setahun yang lalu.

“Saya ingin jelaskan apa yang kerajaan negeri SG4 lakukan adalah untuk mencapai aspirasi negara Malaysia, bukan untuk kepentingan kami di empat negeri semata-mata tetapi kami berkerja bersama-sama untuk negara,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke dua stesen ECRL iaitu Chukai dan Kemasik di sini, semalam.

Katanya, SG4 bersatu untuk bersama-sama memajukan negara kerana usaha tersebut memerlukan kerjasama semua pihak.

“Ini adalah sumbangan kami di negeri SG4, bagaimana kami cuba mencari jalan untuk memastikan apa yang kami rancang dapat dilaksanakan dengan lebih baik,” ujarnya.

Terdahulu, ketika berucap pada Sidang Kemuncak 4 Kerajaan Negeri (SG4) di Bangi baru-baru ini, Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu memaklumkan, SG4 menggariskan tiga fasa bagi menjayakan 10 agenda dalam mengembangkan ekonomi negeri-negeri terbabit.

Katanya, di fasa pertama perkongsian pintar dan kerjasama antara SG4 dengan agensi-agensi Kerajaan Persekutuan, pertubuhan bukan kerajaan, pihak swasta, pakar bidang dan ahli akademik, serta semua ‘stakeholders’ mesti dipergiatkan.

“Di Fasa 2, SG4 akan membangunkan kerangka tindakan (blueprint) yang komprehensif dan seimbang, dengan mengambil kira keperluan, kemampuan serta kekuatan aset-aset setiap negeri.

“Dan fasa terakhir adalah melaksanakan projek dan program berimpak tinggi kepada pertumbuhan ekonomi, kesejahteraan sosial dan pembangunan fizikal di negeri-negeri SG4,” ujarnya.