KUALA NERUS, 14 September - Dua jaringan pada separuh masa pertama dan satu gol pada masa kedua melengkapkan kemenangan 3-0 Terengganu FC ke atas Penang FC dalam aksi Liga Super Malaysia, sebentar tadi.
Petrus Shitembi muncul hero pasukan apabila menghasilkan tiga bantuan gol dalam perlawanan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) itu.
Bermula dengan permainan satu dua di sisi kanan kubu lawan, lorongan Shitembi berjaya disudahkan dengan rembatan rendah Mohd Faisal Abd Halim pada minit ke-37.
10 minit kemudian, pemain kelahiran Jamaica itu sekali lagi menghukum pertahanan Harimau Kumbang melalui hantaran lintang dari sebelah kanan gawang yang berjaya disempurnakan melalui tandukan Tcheche Kipre.
Pada minit akhir perlawanan, hantaran lintang Shitembi sekali lagi menemui Kipre, kali ini penyerang Ivory Coast itu melakukan sepakan volley yang tidak berjaya diselamatkan Hafizul Hakim Hassan untuk gol keduanya, yang merupakan jaringan ketujuh dalam liga.
Kemenangan tersebut menyaksikan Sang Penyu terus kekal di landasan yang betul untuk menempah laluan beraksi di peringkat Asia setelah tewas pada perlawanan akhir Piala FA, minggu lalu.
Terengganu FC kini berada di tangga keempat liga dengan 32 mata, empat mata di belakang Sabah (No.2) dan tiga mata di belakang Negeri Sembilan (No.3).