Sidang DUN: Generasi Al-Fateh Lahirkan Pemimpin Masa Depan

KUALA TERENGGANU, 24 November - Kerajaan negeri telah menggariskan beberapa langkah untuk menyediakan golongan belia seawal usia 11 tahun untuk menjadi pemimpin masa hadapan

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata ia akan dilaksanakan melalui Pelan Strategik Portfolio Pembangunan Belia Sukan dan NGO Negeri untuk tempoh lima  tahun bermula 2021 hingga 2025.

Katanya, antara program yang dirancang termasuklah pembangunan Generasi Al-Fateh atau Generasi Muda Terengganu Sejahtera (GMTS).

"Ia terbahagi kepada lima peringkat iaitu TUNAS (berumur 11-12 tahun) melalui Program School Potential Talent (SPT), DIDIK (berumur 13-15 tahun) melalui Program Teen Potential Talent 1 (TPT1) dan T-Volt Junior 1.

"Peringkat seterusnya, BAKAT (berumur 16-19 tahun) melalui Program Teen Potentail Talent 2 (TPT2) dan T-Volt Junior 2, ELIT (berumur 20-25 tahun) melalui Program ADUN Belia serta Program High Potential Talent (HPT) dan T-VOLT, Program T-Mahir dan Program Rakan Muda.

"Yang kelima ialah IKON (berumur 26-30 tahun) melalui Program Mentor-Mentee, Anugerah WIRA, Anugerah BAKTI dan Anugerah PUTRA," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas  Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Keempat Belas (Bajet), hari ini.

Justeru itu, pihaknya tidak mempunyai perancangan khusus dalam usaha untuk mempersiapkan belia untuk menyertai pilihanraya dan menjadi pemimpin politik seawal usia 18 tahun.

Jelas beliau, program ini adalah rangka usaha sama oleh Urus Setia Belia, Sukan dan NGO Negeri, Jabatan Belia dan Sukan Negeri dan Majlis Belia Negeri.

Menurut Wan Sukairi lagi, program  ini bersasarkan kepada empat fokus utama iaitu Kepimpinan dan Teladan, Pendidikan dan Pembangunan Insan, Ekonomi dan Usahawan serta Sosial dan Masyarakat.