Kerajaan negeri membina dua jajaran Sistem Pagar Elektrik Gajah (SPEG) di Setiu sebagai langkah jangka panjang untuk menghalang gajah liar memusnahkan tanaman penduduk setempat.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian Asas Tani, Perusahaan, Perladangan dan Komoditi Negeri, Dato’ Muhammad Pehimi Yusof, berkata jajaran pembinaan SPEG sepanjang 34 kilometer (km) di Kampung (Kg) Pelong itu siap dan digunakan sejak 2013.
Manakala pembinaan SPEG di Kg Payung sehingga Chalok Barat sepanjang 2.5 km bagi fasa pertama dan 7 km (fasa kedua) pula diguna pakai pada 2014.
“Kos keseluruhan bagi projek di bawah penyelenggaran Jabatan Perhilitan Negeri Terengganu itu hampir RM 2.7 juta.
“Manakala sebanyak RM200,000 lagi diperuntukkan pada setiap tahun bagi kos penyelenggaraan SPEG,” katanya ketika menjawab soalan Dato’ Sabri Mohd Nor (BN-Langkap) pada hari ketiga, Persidangan Dewan Undangan Negeri, hari ini.
Bagaimanapun, menurut beliau, apa yang dikesalkan terdapat segelintir pihak tidak bertanggungjawab bertindak mencuri dawai dan kompenan SPEG sehingga mengakibatkan bacaan voltan pagar itu berkurangan.
“Ada juga penduduk terlupa menutup dan sengaja membiarkan pagar SPEG terbuka dan mengakibatkan gajah memusnahkan tanaman penduduk pada waktu malam.
“Bagaimanapun kerjasama penduduk setempat untuk bersama-sama penguatkuasa JPNT mengawal kawasan tetap diperlukan bagi mengelakkan kecurian dan pecerobohan gajah liar,” katanya.
Muhamad Pehimi berkata, sepanjang tempoh lima tahun bermula 2011 sejumlah lapan ekor gajah liar berjaya ditangkap menggunakan teknik tembak halau dan dipindahkan ke habitat asal di Taman Negara Terengganu.
Tambahnya, terdapat 30 gajah liar dikesan sering menganggu tanaman penduduk di Setiu melibatkan 16 ekor di Kg Pelong dan Kg Gerdong, manakala 14 ekor di Kg Payung dan Kg Chalok Barat.
Menurutnya, populasi gajah liar di Terengganu dianggarkan berjumlah antara 400 hingga 450 ekor.