Sidang DUN : Sasaran 5 Juta Pelancong Masih Relevan

Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
KUALA TERENGGANU,  2 April - Kerajaan negeri menyifatkan sasaran untuk mencapai 5 juta pelancong ke Terengganu menjelang tahun 2020, masih relevan.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, perkara itu berdasarkan pencapaian statistik kedatangan pelancong sebanyak 4.79 juta tahun lalu.

"Pencapaian statistik kedatangan pelancong sebanyak 4.79 juta pada tahun 2018 menunjukkan sasaran untuk mencapai 5 juta pada tahun 2020 adalah relevan," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan bertulis Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi dalam Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Keempat Belas di DUN Terengganu, di sini hari ini.

Katanya, kerajaan negeri sentiasa berusaha untuk menjalankan aktiviti promosi seperti pengiklanan di enam lapangan terbang di semenanjung Malaysia, kerjasama bersama radio,  menggalakkan penggambaran perfileman, kerjasama bersama perantau dan melantik Mat Dan sebagai ikon pelancongan negeri Terengganu.

Selain itu katanya, kerajaan negeri bekerjasama dengan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC)  dalam program usaha sama empat negeri (Terengganu,  Kelantan,  Pahang dan Johor)  iaitu East Coast Tourism Council (ECTC) dalam membangunkan dan mempakejkan produk-produk pelancongan yang terdapat di negeri Terengganu.

Tag: