SIDANG DUN : Terengganu Galakkan Penggunaan Sistem Penuaian Air Hujan

KUALA TERENGGANU, 17 November – Kerajaan Negeri amat menggalakkan penggunaan Sistem Penuaian Air Hujan (SPAH) dalam projek-projek pembangunan khususnya projek perumahan dan bangunan kerajaan.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh berkata, SPAH merupakan salah satu kaedah Best Management Practice (BMP) dalam pengurusan air larian permukaan secara kawalan dipunca (control at source).

“Selain melambatkan aliran air larian permukaan, SPAH juga dapat mengoptimumkan penggunaan air secara efisien. Antara bangunan yang menggunakan SPAH adalah pejabat JPS Daerah Dungun dan Kilang Eletronik LED di Perindustrian Gong Badak.

“Kerajaan Negeri melalui JPS juga telah mensyaratkan pematuhan kepada pemakaian garis panduan Manual Saliran Mesra Alam (MSMA) edisi ke-2 tahun 2012.

“Dalam setiap permohonan pembangunan bagi tujuan pengurusan air larian permukaan yang berkesan dengan menyediakan struktur-struktur kawalan dipunca seperti On-site detention (OSD), kolam takungan dan lain-lain struktur,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menjawab perkara berbangkit oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi semasa perbahasan bajet 2022 dalam Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Belas (Bajet) di Dewan Undangan Negeri, semalam.

Terdahulu, Muhammad Khalil mencadangkan penggunaan Sistem Pengumpulan dan Penggunaan Semula Air Hujan (SPAH) yang lebih banyak di Terengganu seperti negara-negara maju seperti Jepun dan Australia.

“Bagi menukar musibah kepada kebaikan melalui rawatan air tersebut, antara manfaat sistem tersebut adalah ia mengurangkan kesan banjir kilat dan mengatasi krisis bekalan air dengan bekalan asas digunakan semula.

“Kita perlu manfaat dan maskimakan sumber air supaya dapat dimanfaat oleh rakyat,” katanya lagi.