Sinar Baharu Buat Keluarga Norzaimah

KUALA TERENGGANU, 30 Oktober - Kunjungan Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang dan ADUN Wanita, Zuraida Md Noor ke teratak Wan Norzaimah Wan Muhammad bakal mengubah kehidupan ibu tujuh anak itu ke arah yang lebih baik.

Sebelum ini, Norzaimah buntu untuk mencari sumber pendapatan tetap selepas ditinggalkan suami.

Lebih parah, dia terpaksa membesarkan tiga anaknya yang disahkan sebagai orang kurang upaya (OKU).

Penderitaan 'ibu tinggal' itu mendapat perhatian pihak berwajib yang menziarahi keluarga terbabit semalam dan hasrat Norzaimah untuk membuka perniagaan serta mempunyai pendapatan tetap bakal termakbul.

Menurut Zuraida, PKM dan pihaknya telah bersetuju untuk membantu Norzaimah dengan membelikan barangan keperluan perniagaan.

"Hari ini adalah tindakan susulan dengan membeli kelengkapan untuk membuka kedai dan memudahkan urusan mereka untuk berniaga di tempat yang baru disewa di Kampung Pulau Kerengga.

"Saya mengharapkan apa yang kita usahakan hari ini dapat membantu keluarga Norzaimah untuk berdikari dan ada sumber pendapatan tetap untuk menyara anak-anaknya.

"Jiran-jiran dan masyarakat sekeliling juga perlu memainkan peranan penting untuk sama-sama dalam memberi bantuan di mana ibu ini berada dalam keadaan sedang diuji di samping mendoakan urusan perniagaannya agar berjalan dengan lancar," katanya ketika ditemui pemberita Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas memberi bantuan kepada Norzaimah kelmarin.

Hadir sama, Pegawai Khas PKM DUN Rhu Rendang, Nasaruddin Samsudeng.

Sementara itu, Norzaimah menyatakan rasa syukur dan berterima kasih kepada PKM DUN Rhu Rendang serta ADUN Wanita atas sumbangan yang diberikan.

"Proses untuk memulakan perniagaan iaitu membuka kedai makan telah dimulakan dengan memohon lesen dan mengubah suai kedai yang baru disewa.

"Saya juga mengambil upah menjahit baju sementara menunggu kedai ini dibuka sepenuhnya bagi menyara keluarga dengan dibantu oleh anak-anak terutamanya anak sulong saya," tambahnya lagi.

Untuk rekod, keluarga Norzaimah telah menerima bantuan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat di samping mendapat perhatian sebagai penama Focus Group.


Tag: