Sis Be Fit Galak Wanita Hidup Sihat

KUALA TERENGGANU, 18 Oktober – Program Sis Be Fit (Green Fun Walk) mendorong wanita di negeri ini untuk mengamalkan gaya hidup sihat melalui aktiviti riadah yang mudah tetapi berkesan.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Perpaduan Nasional Negeri, Maliaman Kassim, berkata acara ini sejajar dengan tema 'hijau' yang dipilih bagi menyatakan kecintaan terhadap alam sekitar dan solidariti bersama rakyat Palestin, bersempena setahun tragedi Taufan Al Aqsa.

“Program ini bukan sahaja menggalakkan aktiviti berjalan kaki, tetapi juga bertujuan mendidik masyarakat untuk lebih aktif dalam aktiviti fizikal serta mencapai tahap kecergasan yang lebih baik.

"Selain itu, program ini juga menjadi platform untuk menyatukan masyarakat setempat, khususnya wanita, agar terus komited dalam menyahut seruan kerajaan untuk membudayakan sukan dalam kehidupan seharian," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan program Sis Be Fit (Green Walk) yang diadakan di Dewan Majlis Daerah Hulu Terengganu, semalam.

Beliau menekankan bahawa inisiatif ini amat penting memandangkan wanita, sama ada yang bekerja mahupun suri rumah, sering menghadapi kekangan masa untuk bersukan.

"Program ini menawarkan cara mudah bagi wanita untuk menjaga kesihatan melalui aktiviti yang tidak memakan masa lama, tetapi memberikan impak positif.

“Dengan program seperti ini, kita berharap agar wanita Terengganu lebih aktif bersukan dan dapat memupuk semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat.

“Ini juga selaras dengan usaha kerajaan melalui Pelan Induk Terengganu Sejahtera 2030 (PITAS 2030), yang memfokuskan pembangunan insan dan ekonomi secara holistik," tambahnya.

Selain itu kata Maliaman, pelancaran Dasar Wanita Terengganu pada September 2022 juga merupakan langkah penting dalam melindungi dan memperkasa wanita di negeri ini.

"Beberapa program hiburan dan sukan seperti Alamanda Fun Run, Sukan Untuk Wanita (SUKWA), dan Terengganu Hijab Day (THD) telah dianjurkan selaras dengan garis panduan hiburan patuh syariah," katanya lagi.

Justeru, beliau berharap program Sis Be Fit (Green Fun Walk) dapat membuka jalan kepada lebih banyak inisiatif serupa pada masa hadapan, sekali gus memperkukuhkan sokongan terhadap gaya hidup sihat dalam kalangan wanita di Terengganu.


Tag: