KUALA TERENGGANU, 24 Mac – Kerajaan negeri menyalurkan peruntukan lebih RM3.9 juta kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) bagi melaksanakan program Skim Menghafaz al-Quran Dewasa Terbuka sejak 2018.
Timbalan Pesuruhjaya (Hal Ehwal Islam) Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Zulkefli Othman berkata, skim itu melibatkan 713 peserta yang melalui ujian tertentu dan sabit hafaz.
Katanya, masing-masing 275 orang peserta pada tahun 2018, 302 pada tahun 2019 dan 136 orang pada tahun lepas, sekali gus menafikan fitnah bahawa skim itu dihapuskan.
“Mereka yang menyertai skim ini terdiri daripada lelaki dan perempuan yang berumur tidak kurang dari 18 tahun. Permohonan untuk menyertai skim ini adalah berdasarkan juzuk yang dipohon oleh peserta, iaitu 7 hingga 30 juzuk.
“Jumlah keseluruhan pembayaran yang dibuat bagi tahun 2018 adalah sebanyak RM1,543,548 melibatkan RM814,260 pada penggal pertama dan RM729,288 pada penggal kedua, manakala tahun 2019 adalah sebanyak RM1,677,228 membabitkan RM881,068 pada penggal pertama dan RM796,160 pada penggal kedua.
“Pada tahun 2020, ujian bagi skim ini telah dijadualkan pada bulan April tetapi tidak dapat dilaksanakan kerana penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) disebabkan penularan COVID-19 di seluruh negara.
"Oleh yang demikian, ujian hanya dapat dilaksanakan bagi satu penggal sahaja dan ujian ini telah diadakan pada bulan September 2020, melibatkan pembayaran sebanyak RM766,180”, katanya ketika ditemui UPDI di pejabat JHEAT pagi tadi.
Tambah Zulkefli, peserta akan dibayar imbuhan mengikut kadar yang telah ditentukan mengikut juzuk hafazan masing-masing.
"Contohnya, peserta yang sabit hafaz (lulus) bagi kategori 30 juzuk dibayar RM800 (jika tiada sumbangan) atau RM1,000 (ada sumbangan) sebulan dan bayaran dibuat adalah bagi satu penggal (6 bulan), iaitu peserta akan dapat bayaran berjumlah RM4,800 atau RM6,000.
“Sumbangan yang dimaksudkan adalah para hafiz dan hafizah hendaklah memberi sumbangan dalam kegiatan keagamaan kepada masyarakat di tempat tinggal mereka dengan mengadakan kelas fardhu ain atau pengajaran al-Quran secara sukarela tanpa dibayar gaji atau imbuhan," katanya lagi.
Mengulas tentang pelaksanaan skim pada tahun ini, Zulkefli berkata, permohonan akan dibuka selepas Majlis Tilawah Al-Quran Tahun 1442H/2021M berakhir.
Katanya, JHEAT akan mengeluarkan iklan/hebahan bagi mereka yang berminat untuk menyertai skim ini melalui Pejabat Agama Daerah masing-masing.
"Kepada mereka yang berminat boleh mendapatkan borang permohonan di pejabat agama di daerah masing-masing untuk penggal pertama.
"Insya-Allah, Skim Menghafaz al-Quran Dewasa Terbuka pada tahun ini akan laksanakan dua penggal seperti biasa, penyertaan terbuka kepada mereka yang berumur tidak kurang dari 18 tahun," tambahnya lagi.