lightning-solid
Berita :
Skim Pengairan Bantu Penghasilan Padi Lebih Efektif
Skim Pengairan Bantu Penghasilan Padi Lebih Efektif
Mohd Irsyadi Abu Bakar
11 Nov 25
153

KUALA TERENGGANU, 11 November - Kerajaan Terengganu telah melaksanakan dua skim pengairan padi dalam DUN Air Putih bagi meningkatkan penghasilan tanaman padi di kawasan berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dato’ Dr. Azman Ibrahim berkata, sejak tahun 2019, sebanyak  RM1.9 juta telah diperuntukkan bagi menaik taraf sistem pengairan dan infrastruktur Paya Paman dan Paya Dadong di DUN berkenaan.

"Skim pengairan padi di Paya Paman antara projek  yang kita fokus untuk menaik taraf sistem pengairan bagi tahun 2025 dengan membina sistem tali air utama yang melibatkan kos RM500,000.

"Inisiatif ini supaya kawasan yang sebelum ini bertanam sekali setahun boleh tanam padi dua kali setahun.

"Alhamdulillah, status projek ini telah siap sepenuhnya," katanya ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Mohd Hafiz Adam dalam Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga DUN Kelima Belas (Bajet) di Wisma Darul Iman hari ini.

Selain itu katanya, program perataan sawah dua kali lapan juga dilakukan di skim pengairan Paya Dadong Kemaman seluas 32 hektar yang melibatkan 19 orang pesawah dengan kos RM112,000. 

Tambahnya lagi, Air Putih juga merupakan antara tumpuan fokus bagi program pengeluaran makanan negeri bagi tahun depan.

"Untuk tahun 2026 bagi sektor tanaman makanan, Jabatan Pertanian Negeri Terengganu telah menguruskan dan memohon beberapa peruntukan khusus untuk DUN ini.

"Pertama, untuk projek pembangunan tanaman kelapa di Kampung Banggul, Paloh Jenang dan juga Kampung Bukit Besar yang melibatkan seramai 37 orang peserta dengan keluasan 19.3 hektar melibatkan kos RM68,951. 

"Kedua, projek sayur-sayuran (cili) yang memberi fokus kepada golongan sasar golongan berpendapatan rendah (B40) di Kampung Olom Binjai dan Kampung Pengkalan Binjai melibatkan enam orang peserta seluas 2.8 hektar dengan kos RM85,831. 

"Manakala yang ketiga ialah peningkatan infrastruktur dan juga sistem pengairan dan saliran di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Paloh Jenang," katanya.

Menurut Dr. Azman, projek itu menggunakan kawasan seluas 193 hektar dengan kos RM1.19 juta. 

"Jadi, peruntukan keseluruhan bagi tahun 2026 yang dipohon oleh Jabatan Pertanian untuk DUN Air Putih ialah RM1.954 juta melibatkan seluas 403 hektar yang memberi manfaat kepada 200 orang pengusaha bagi mengusahakan aktiviti tanaman di DUN Air Putih," ujarnya.




Tag :

Artikel Berkaitan