SKMM Bekerjasama Perpustakaan Negara Kaji Media Cetak Digital



Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia(SKMM) dengan kerjasama Perpustakaan Negara akan melaksanakan kajian mengenai masa depan media cetak dalam bentuk digital.

Timbalan Menteri Komunikasi Dan Multimedia,Dato' Seri Jailani Johari berkata, usaha itu bersesuaian dengan situasi sekarang apabila masyarakat lebih cenderung ke arah penggunaan internet untuk mendapatkan sesuatu bahan atau maklumat.

"Di sini saya ingin tekankan bahawa satu kajian perlu dilakukan antara pihak perpustakaan sama ada perpustakaan negara atau negeri bekerjasama dengan pihak SKMM bagi memindahkan hasil karya penulis ke dalam bentuk digital selaras dengan perkembangan teknologi masa kini.

"Mungkin kita boleh buat satu kajian kerana kita tahu diluar sana banyak lambakan buku kerana pengarang-pengarang sentiasa menghasilkan produk baru.Jadi bagaimana ianya boleh diketengahkan ataupun dijual kalau tidak ada minat orang untuk membacanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Jalinan Kasih Tautan Budi Bersama Komuniti Orang Asli Kampung Sungai Berua, Hulu Terengganu,baru-baru ini.

Jailani berkata, dengan cara ini juga, orang ramai tidak perlu lagi membawa buku atau majalah tebal malah boleh melayarinya melalui internet di mana sahaja dan bila-bila masa.

"Ini boleh menjimatkan kos mendapatkan buku sekaligus menggalakkan budaya membaca," ujarnya.

Tag: