SKMM Naik Taraf Internet Di 8,245 PDM Menjelang PRU14



Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (SKMM) sedang menaik taraf jaringan internet di semua Pusat Daerah Mengundi sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Timbalan Menterinya, Dato' Seri Jailani Johari berkata, kerja-kerja menaik taraf  dilaksanakan secara berperingkat yang melibatkan 8,245 PDM di seluruh negara supaya tidak berlaku masalah gangguan internet sepanjang PRU nanti.

"Sebagai persediaan menghadapi PRU14, saya telah mengarahkan setiap PDM terutama 566 di Terengganu termasuk 52 di Hulu Terengganu supaya pastikan siapsiaga dari segi tahap capaian internetnya.

"Ini termasuk seluruh PDM di seluruh negara kerana ia antara perkara penting yang perlu ada ketika menghadapi PRU,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Jalinan Kasih Tautan Budi Bersama Komuniti Orang Asli Kampung Sungai Berua, Hulu Terengganu, hari ini.

Pada majlis tersebut, Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu menjalankan tanggungjawab sosial korporat kepada masyarakat Orang Asli Sungai Berua dengan menempatkan perpustakaan bergerak.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Kerajaan Negeri, A.Latiff Awang dan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, Shafruddin Ali Hussin.

Tambah Jailani lagi,kerja-kerja menaik taraf liputan internet di kawasan perkampungan orang asli juga giat dijalankan sebagai bukti Kerajaan Barisan Nasional tidak pernah meminggirkan masyarakat di pedalaman terutama dalam bidang pendidikan.

Tag: