Skuad Penyelamat Pantai Akan Diperbanyak Di Lokasi Tumpuan Pelancong
Pasukan penyelamat pantai. |
KUALA TERENGGANU, 19 Januari - Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu akan mewujudkan lebih banyak pasukan penyelamat pantai di beberapa lokasi tumpuan pengunjung untuk memantau keselamatan mereka.
Pengarahnya Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata ketika ini pasukan penyelamat beroperasi di empat lokasi pantai tumpuan pelancong iaitu di Pantai Bukit Kluang, Besut, Taman Laut Pulau Redang, Pantai Batu Buruk, Kuala Terengganu dan Pantai Kekabu, Marang.
“Memang kita bercadang menambah pasukan penyelamat di pantai tertentu yang jadi tumpuan pelancong mandi manda dalam masa terdekat ini antaranya di Pantai Pulau Kekabu dekat Marang.
“Ia adalah permintaan Pegawai Daerah Marang (Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak) yang mahu membuka satu lagi kawasan untuk mandi manda di bahagian utara pantai itu sebagai daya tarikan pelancong,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Beliau diminta mengulas saranan Pengarah Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS) Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof Madya Dr Mohd Fadzil Mohd Akhir agar lebih banyak pasukan penyelamat pantai diwujudkan bagi mengelak kejadian lemas yang sering berlaku di pantai Terengganu sejak akhir-akhir ini berulang pada masa depan.
Pada Jumaat lepas, empat pelajar Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin, Dungun dikhuatiri lemas setelah mandi manda di pantai Teluk Bidara, Dungun manakala seminggu sebelum itu, dua pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Chendering ditemui lemas di Pantai Pandak.
Mengulas lanjut, Che Adam berkata pasukan penyelamat pantai di empat lokasi itu hanya melakukan pemantauan secara berkala sepanjang musim tengkujuh dari Oktober hingga Mac berikutan amaran telah banyak dikeluarkan mengenai aktiviti rekreasi seperti mandi manda yang berbahaya kepada pengunjung.
“Begitu juga dengan pantai lain yang agak terpencil seperti Teluk Bidara di Dungun dan Pantai Kemasik di Kemaman, ia bukan tumpuan utama pengunjung untuk mandi manda sebaliknya ramai ke sana untuk menikmati keindahan alam seperti merakam foto dan video.
“Namun APM Terengganu sedia mewujudkan lebih banyak pasukan penyelamat pantai di mana-mana sahaja lokasi yang difikirkan sesuai sekiranya kerajaan negeri sedia menyalurkan peruntukan,” katanya. - BERNAMA