Dua pelajar cemerlang yang meraih Anugerah Khas Ulul Albab, Husna Mardhiyyah Mohd Fauzi dan Muhammad Faris Mohamad Rafee, berusia 17 tahun bergambar bersama ibu bapa masing-masing sempena Majlis Graduasi & Anugerah Hafazan Al-Quran SM Imtiaz YT 2016, di Wisma Darul Iman, hari ini. Foto oleh Zulkifli CW Putra
Seramai 100 pelajar Tingkatan Satu akan memulakan sesi pertama pengajian di situ, sebelum berpindah ke bangunan kekal di kawasan berkeluasan 20 hektar di Kampung Tok Mucung, Marang.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Kerajaan Negeri, A. Latiff Awang, berkata kerajaan negeri menerusi YT memperuntukkan perbelanjaan yang besar bagi memastikan sekolah baharu ini dapat beroperasi dengan lancar mulai tahun hadapan.
“Jumlah itu melibatkan perbelanjaan kelengkapan sekolah, ubahsuai bangunan, pengambilan guru baharu dan lain-lain lagi.
“Dengan pembukaan SM Imtiaz di Marang ini, maka lengkaplah setiap daerah sebuah Imtiaz sepertimana yang telah dijanjikan oleh kerajaan negeri sebelum ini,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian bagi mewakili Menteri Besar, Ahmad Razif Abd Rahman di Majlis Graduasi dan Anugerah Hafazan Al-quran Sekolah-Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu 2016, di Wisma Darul Iman, hari ini.
Turut hadir, Pengarah YT, Mohamad Sulong.
A Latiff berkata, pembukaan Imtiaz Marang itu memberi peluang kepada anak Terengganu melanjutkan pelajaran ke SM Imtiaz dan menampung keperluan pelajar lepasan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah 2016 yang cemerlang untuk melanjutkan pelajaran ke sekolah berasrama penuh.
Katanya, kerajaan negeri sangat komited untuk memastikan kejayaan anak negeri dalam bidang pendidikan termasuk memantapkan lagi program tahfiz dengan membangunkan Tadika Imtiaz di setiap parlimen.
“Pendedahan dari peringkat awal adalah penting bagi melahirkan generasi tahfiz yang mantap. Inisiatif ini menunjukkan bahawa kerajaan negeri serius dalam menjadikan Terengganu sebagai bumi Ulul Albab.
“Pelbagai program telah dirancang dan dilaksanakan menerusi YT bagi memperkayakan lagi pembangunan modal ins,an pelajar-pelajar Sekolah Menengah Imtiaz YT dan memastikan pelajar imtiaz menjadi profesional yang hafiz dapat direalisasikan,” katanya.
Tambahnya, kerjasama dengan institusi pengajian tinggi (IPT) yang sedia terjalin akan memberi peluang kepada pelajar imtiaz bagi melanjutkan pelajaran dalam bidang tertentu, sekali gus berharap lebih banyak kerjasama dengan IPT tempatan dan luar negara dapat dilaksanakan supaya mereka dapat melanjutkan pelajaran di peringkat yang lebih tinggi.
Selain itu, katanya pembangunan program-program yang dapat menjadi nilai tambah kepada kurikulum dan kokurikulum imtiaz perlu terus diterokai demi pembangunan pelajar-pelajar SM Imtiaz YT.
Di majlis berkenaan, seramai 365 pelajar cemerlang dari SM Imtiaz seluruh Terengganu yang bakal menamatkan pengajian menerima sijil graduasi masing-masing sebagai mengiktiraf kejayaan mereka.
Selain itu, seramai 276 hafiz dan hafizah berjaya khatam 30 juzuk al-Quran serta lulus Ujian Hafazan yang dinilai oleh panel-panel hafazan yang dilantik YT, turut diraikan di majlis berkenaan.