Sidang Kemuncak Antarabangsa Terengganu Kecam Genosid di Palestin
SMAASZA Lakar Sejarah Peringkat Antarabangsa
Foto: Harian Metro |
KUALA TERENGGANU, 7 Februari - Sekolah Menengah Agama Atas Sultan Zainal Abidin (SMAASZA) Batu Buruk, Kuala Terengganu melakar sejarah di Thailand selepas meraih pingat emas dalam Pertandingan Pameran Harta Intelek, Rekacipta, Inovasi dan Teknologi Antarabangsa di Bangkok, Thailand hari ini.
Lebih membanggakan kumpulan inovasi yang terdiri daripada empat pelajar Wan Ahmad Aqil Zakwan Wan Mohd Faidzal, 17; Nurul AisyahMustaffa, 17; Nur Anis Farzana Abdul Malik, 15, dan Che Nur Amni Che Rusdi, 15, turut meraih anugerah khas Persatuan Perekacipta dan Usahawan Wanita Dunia yang beroperasi di Korea Selatan.
Dalam pertandingan itu, kumpulan yang mendapat bimbingan daripada guru sekolah berkenaan, Saripah Embong mempertaruhkan produk pencuci pelbagai kotoran menggunakan tumbuhan semula jadi, AVER Clean Liquid.
Produk yang dihasilkan mereka itu juga sesuai dijadikan pembersih tangan dan pencuci pinggan kerana ia tidak menghakis tangan dan kulit.
“Produk kajian SMAASZA ini adalah satu larutan semula jadi pelbagai fungsi yang mampu menanggalkan kotoran seperti tanda dakwat, cat, karat air, gam, getah nangka dan kotoran pada permukaan dinding, lantai, meja, cermin serta papan putih.
“Kejayaan ini begitu menggembirakan kami lebih-lebih lagi ia kejayaan yang ke-10 dalam pelbagai pertandingan inovasi termasuk pertandingan di Crotia pada 2018 dan Korea Selatan tahun lalu,” katanya ketika ditemui selepas diumumkan sebagai pemenang dalam majlis yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Bangkok.
Program yang turut mendapat kerjasama daripada kerajaan negeri, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMAASZA itu turut dihadiri Pengetua SMAASZA Engku Abdullah Engku Dalam Ahmad.
Peserta termuda SMAASZA, Nur Anis Farzana berkata, dia bersyukur kerana penyertaan kali pertamanya berjaya meraih pingat emas di peringkat antarabangsa.
“Saya tidak menyangka boleh menyuarakan hujah di depan juri kerana saya seorang pemalu tetapi dengan bimbingan guru, saya mampu melakukannya dan kemenangan ini bukan hanya milik saya sahaja tapi ia buat semua warga SMAASZA yang menyokong secara langsung atau tidak langsung bagi memastikan produk ini menempa kejayaan di peringkat antarabangsa.
Sebanyak 1000 inovasi membabitkan 28 negara menyertai pertandingan selama lima hari bermula 2 Februari lalu termasuk 84 pasukan dari Malaysia bawah pengurusan Persatuan Penyelidikan dan Inovasi Malaysia (MYRIS).