SMK Serating Dapat Surau Baharu Hasil Sumbangan



Oleh : Khairan Mat Jusoh

MARANG, 17 Mac - Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Serating (SAKSES) kini mampu berbangga apabila berjaya menyiapkan Surau Ar-Rahim dengan hasil sumbangan orang ramai.

Setiausaha Persatuan Ibu Bapa dan Guru(PIBG), Ustazah Mazidah Daud, 46, berkata pada mulanya tanggungjawab yang diberikan kepadanya adalah cukup berat untuk dipikul kerana  ianya melibatkan kos yang agak besar.

"Saya runsing memikirkan pasal dana untuk surau ini, kerana tidak tahu dimanakah sumber yang harus saya mohon atau rujuk.

"Namun dalam masa enam bulan kemudian selepas kita iklan dan sama-sama usahakannya, ia mula membuahkan hasil dengan wang yang terkumpul pada masa itu sebanyak RM40 ribu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas selesai majlis perasmian surau yang disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Ustaz Sulaiman Sulong.


Menurut Majidah, projek pengubahsuaian itu bermula sebaik sahaja dana  terkumpul mencecah RM40 ribu walaupun kos keseluruhan untuk menyiapkannya menelan belanja sehingga RM120 ribu.

"Walaupun 40 ribu itu tidak mencukupi, namun syarikat kontraktor yang menjalankan aktiviti pembinaan itu, mengambil keputusan untuk tetap meneruskan projek itu dengan menggunakan wang darinya dahulu.

“Pihaknya melakukan pembesaran surau yang berkeluasan 60 kaki x 40 kaki dan mampu menampung sehingga 600 orang jemaah dalam satu masa,”ujarnya lagi.

Jelasnya, RM30 ribu daripadanya adalah daripada Bakti Bank Negara dan selebihnya disumbang oleh orang ramai, individu serta masjid-masjid yang ada di daerah Marang ini.

Sementara itu, Ustaz Sulaiman berkata jika niat ingin melakukan sesuatu perkara itu dengan ikhlas kerana Allah, insyaallah Allah akan permudahkannya, lebih-lebih lagi jika ia adalah perkara yang membawa ke jalanNya.

 “Sesuai dengan  peribahasa "di mana ada kemahuan di situ ada jalan" kerana ia disiapkan dengan sumbangan dari orang ramai dan  akhirnya dapat disiapkan semenjak Disember 2018 yang lalu, para guru sama-sama berusaha mencari dana untuk pembinaan surau ini," ujar beliau.






Tag: