Solat Hajat Perdana Mohon Kelancaran Hadapi SPM
Oleh: Abdul Hafiz Ghazali
KEMAMAN, 4 November - Tujuh sekolah di sekitar Chukai menyertai Solat Hajat Perdana Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebagai memohon kejayaan cemerlang dan kelancaran semua pelajar menghadapi peperiksaan awam itu tidak lama lagi.
Majlis yang dilaksanakan di Masjid Sultan Ahmad, di sini, semalam melibatkan masyarakat setempat dan ibu bapa pelajar bermula pada jam 7.30 petang dan berakhir pada jam 9.30 malam.
Pegawai Pendidikan Daerah Kemaman, Idris Bidin, berkata majlis ilmu itu penting sebagai tempat pertemuan semua tenaga pendidik dan pelajar bersama ibu bapa sebelum anak-anak berdepan ujian penting dan kemuncak sepanjang menghabiskan masa di alam persekolahan.
"Bukan sahaja kita mahu pelajar mendapat kejayaan cemerlang, tetapi sebagai memohon dari Allah SWT supaya semua warga pendidik dan pelajar sentiasa selamat, dijauhi dari musibah serta menjadi umat Islam yang berguna kepada agama, bangsa dan juga negara.
"Pentingnya menjaga hubungan dengan Allah SWT dan berusaha bersungguh-sungguh dalam mencapai kecemerlangan dunia dan akhirat,"katanya dalam ucapan kuliah Maghrib beliau.
Turut Hadir, Penyelia Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS), Dr Megat Suhaimi Megat Idrus, Pembantu Penyelia Hal Ehwal Belia i-MiTS, Hamka Hashim dan Penolong Pegawai Teknologi Maklumat /Multimedia Baharu i-MiTS, Muhammad Azizi Zakaria.
Sementara itu, Dr Megat berkata, majlis itu dapat merapatkan hubungan antara masyarakat sekitar dengan pihak sekolah, warga pendidik dan juga ibu bapa pelajar.
"Seterusnya, majlis ini secara tidak langsung dapat mendidik pelajar agar sentiasa bergantung kepada Allah SWT dalam semua urusan hidup,"ujarnya.
Dr Megat berkata, majlis itu berjalan dengan lancar kerana mendapat kerjasama yang baik di kalangan AJK Masjid, para ibu bapa, para guru dan pelajar.
Tambahnya lagi, semoga dengan terlaksananya program sebegini, pelajar akan sentiasa menghormati guru-guru dan mengenang jasa serta pengorbanan mereka dalam mendidik dan mengasuh pelajar menjadi manusia yang berguna kepada agama, bangsa serta negara.