SPM 2018: Buta Sebelah Mata Bukan Halangan Raih 5A

Ciuman istimewa seorang ibu buat anaknya yang dinobatkan salah seorang pelajar cemerlang CBK bagi SPM 2018

KUALA TERENGGANU, 14 Mac - Hanya belajar menggunakan mata kiri  namun tidak mematahkan semangat Ahmad Shahir Safwan Ahmad Sabri untuk memperolehi keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan hari ini.

Dia yang berasal dari Balai Besar Dungun merupakan Calon Berkeperluan Khas (CBK) terbaik bagi negeri Terengganu, Ahmad Shahir tidak meletakkan kekurangan diri sebagai penghalang untuk berjaya seperti pelajar-pelajar normal lain.

Anak ketiga dari empat beradik itu mengidap Glaukoma sejak tingkatan tiga, kehilangan penglihatan sepenuhnya  pada mata kanan manakala mata kirinya hanya boleh melihat hanya 20 peratus sahaja berjaya memperoleh 5A termasuk satu A+ dalam subjek Pendidikan Syariah Islamiah


Kata Ahmad Shahir, dengan sokongan dan dorongan dari keluarga, guru-guru dan rakan sebaya telah memberinya satu kekuatan untuk berjuang seperti pelajar normal.

"Saya hilang penglihatan mata kanan dan cuma boleh melihat dengan mata kiri.Keadaan ini memberi cabaran besar kepada saya untuk belajar terutama pada waktu malam.

"Rasa rendah diri sebab orang lain lebih hebat selepas itu rasa tercabar untuk jadi jauh lebih hebat dan sebab itu saya cuba yang terbaik untuk SPM,"katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas majlis pengumuman SPM, di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sheikh Abdul Malik, di sini hari ini.

Dalam majlis yang sama, Ahmad Shahir turut menerima sijil penghargaan atas kecemerlangannya dalam SPM 2018 tersebut daripada Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi Terengganu, Satipul Bahri Mamat.

Pelajar-pelajar cemerlang SPM 2018

Tambahnya, solat sunat Dhuha juga menjadi amalan di waktu rehat apabila dia dan rakan-rakan ke surau bagi menunaikannya setiap hari.

Tag: