“Street Dakwah” Semarak Semangat Di Ambang Ramadan
Pertemuan santai beri peluang berdakwah kepada masyarakat. |
MARANG, 16 April - Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang dengan kerjasama Yayasan Islam Terengganu (YIT) kawasan Marang melaksanakan ‘Street Dakwah’ di sekitar kawasan rekreasi Pantai Kekabu, di sini, baru-baru ini.
Proram berkenaan diadakan bertujuan untuk menyebarkan dakwah dan risalah berkaitan kepentingan solat serta mewar-warkan ketibaan bulan penuh berkat iaitu bulan Ramadan.
Pengarah Program, Nurhidayah Ali menjelaskan, program itu dilakukan secara berkala oleh Beliawanis DUN Rhu Rendang bagi menyantuni masyarakat, terutamanya anak muda wanita kerana mereka lebih mudah didekati.
Penyertaan mahasiswa semarak semangat dakwah. |
“Pendek kata, setiap kali sambutan tertentu pasti akan diadakan program sebegini,” katanya ketika ditemui Urusetia Penerangan Darul Iman sewaktu program berkenaan.
Street Dakwah kali ini turut diserikan dengan kehadiran Beliawanis DUN Rhu Rendang serta hampir 30 mahasiswa dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang gigih menjelajah sepanjang pantai bagi mengedarkan risalah kepada para pengunjung.
Sementara itu, Penyelia i-MiTS Rhu Rendang, Mohamad Embong mengharapkan lebih banyak aktiviti dakwah dan penerangan seperti ini dapat dilakukan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat berkaitan tuntutan hidup beragama.
“Tahniah kepada semua yang terlibat menjayakan program ini secara langsung atau tidak langsung. Semoga usaha yang sedikit ini dapat menarik lebih ramai lagi untuk lebih mendalami agama,” jelasnya ketika berucap di awal majlis tersebut.
Dalam perkembangan sama, Hidayah juga menerangkan sedikit sebanyak peranan Belia dan Beliawanis DUN Rhu Rendang yang bertanggungjawab melaksanakan pelbagai program bersesuaian untuk mereka.
Peranan mereka bukan sahaja tertumpu kepada program sukan dan rekreasi serta hiburan semata-mata, tetapi perlu seiring dengan pembinaan modal insan serta menepati syariat untuk para belia yang merupakan pelapis kepimpinan akan datang.
"Insya-Allah, kami mewakili anak muda DUN Rhu Rendang amat mengharapkan sokongan dan sebarang cadangan untuk diperkasakan agar belia dan beliawanis di sini menjadi contoh kepada DUN-DUN yang lain,” katanya.