Sukan Lasak ATV Ikon Terbaru Pelancongan Di Bukit Besi
Sukan lasak All Terrain Vehicle (ATV) akan menjadi satu ikon tarikan terbaru di Bukit Besi Rainforest Endurance Park (BBREP) Dungun bagi penggemar sukan ekstrem.
Pengarah Urusan Alam Perkasa Technology, Mohamad Ngah berkata, Sukan ATV di BBREP berpotensi untuk dibangunkan sebagai lokasi eko-pelancongan yang menjadi pusat sukan lasak di Daerah Dungun dan Negeri Terengganu.
"Kita mempunyai trek lima kilometer dan 25 kilometer yang mengambil masa hingga empat jam dengan jalan naik dan turun bukit serta meredah laluan sukar yang penuh lumpur memberi cabaran untuk melepasinya yang menguji ketahanan mental serta fizikal.
"Harga yang dikenakan adalah berpatutan dan bagi laluan lima kilometer hanya RM50 dikenakan dan merupakan kadar terendah di negara ini di samping pemandu dapat menghayati keindahan alam sekitar yang terdapat di BBREP," katanya kepada media yang turut diberi peluang mencuba menaiki ATV di Bukit Besi Rainforest, Dungun, semalam.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Bukit Besi, Roslee Daud dan Pengarah Tourism Malaysia Terengganu, Zaliha Zainuddin.
"Kami juga akan menyediakan pakej pertandingan bersama penginapan bagi kemudahan pengunjung dan perbincangan telah pun dibuat dengan pengusaha homestay di sekitar Bukit Besi untuk membantu meningkatkan pendapatan mereka secara kolaborasi bersama.
"Pihak kami bercadang untuk melaksanakan kejohanan ATV pada setiap bulan dan pertandingan kejuaraan ATV pada akhir tahun dengan menghimpunkan peserta yang meraih banyak mata. Penganjuran sukan ini bakal menarik minat penaja besar seperti red bull dan petronas," katanya lagi.
Selain ATV, beberapa sukan lain turut disediakan di BBREP seperti sukan kuda lasak, marathon, motorcross, basikal mountain bike dan mature hiking.
"Pada 17 Februari depan kita akan anjurkan Mountain Bike Jamboree yang mensasarkan seramai 1,000 peserta dari dalam dan luar Terengganu.
"InsyaAllah, pihak kami juga sedang menyiapkan trek khas untuk motorcross lima kilometer yang akan siap pada minggu depan selain trek 31 kilometer yang sedia ada,"ujar Mohamad.