Sukan Motocross Bakal Gegarkan Bumi Jabi

SETIU, 8 November – Sukan lasak motocross bakal mengegarkan bumi Jabi selepas litar sukan terbabit yang bernilai RM10,000 siap dibina di Kuala Kubang di sini dalam beberapa masa lagi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dr Azman Ibrahim berkata, penganjuran sukan itu turut mampu meningkatkan ekonomi penduduk sekitar.

"Dewan Undangan Negeri (DUN) Jabi ialah sebuah pekan kecil dengan kuasa beli penduduknya yang terhad. Kedai makan, restoran, kedai runcit, kedai sate dan lain-lain lagi dah banyak wujud di Jabi. 

"Dengan jumlah pelanggan tempatan yang terhad, kita merancang pelbagai program supaya Jabi menjadi tumpuan pengunjung dari luar.

"Sebelum ini kita buat Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Terengganu, Himpunan Lembu Sado Pantai Timur, Karnival Dun Jabi dan beberapa program lagi. Dengan wujudnya program bersaiz mega sebegini, Pekan Jabi dilimpahi pengunjung. 

"Kesan ekonomi sangat ketara. Kedai satay dan kedai makan penuh orang. Stesen minyak penuh kereta. Homestay dan hotel bajet tak cukup bilik dan macam-macam lagi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita setelah melakukan lawatan ke tapak litar motocross yang masih dalam penyelenggaran semalam. 

Turut bersama Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kuala Kubang, Aziz Rashid.

 

Dalam masa yang sama, Dr Azman turut bercadang untuk menghidupkan kembali acara Tebu Mountain Challenge dan mensasarkan dijadikan ia suatu acara bertaraf antarabangsa.