Sukarelawan Syariah Dungun Dilancarkan Ambang Tahun Baru 2025

DUNGUN, 1 Januari - Skuad Sukarelawan Syariah Kawasan Dungun dilancarkan sempena ambang tahun baru 2025 bagi memperkasakan gerakan dakwah di kawasan berkenaan, malam tadi.

Naib Yang Dipertua Pas Kawasan Dungun, Wan Hapandi Wan Nik berkata, penubuhan Sukarelawan Syariah dengan penglibatan seramai 100 sukarelawan tu diharap dapat mengurangkan gejala tidak bermoral di kalangan masyarakat di daerah itu.

"Tahniah kepada Lajnah Dakwah PAS Dungun kerana telah berusaha mewujudkan skuad ini.

"Skuad ini bukan semata - mata untuk menangkap pelaku jenayah syariah, sebaliknya kita akan turut mendidik masyarakat  dan menimbulkan kesedaran untuk membina generasi muda yang lebih baik," katanya ketika berucap merasmikan pelancaran Skuad Sukarelawan Syariah Kawasan Dungun.

Dalam program sama, skuad berkenaan memulakan 'langkah pertama' dengan turun melakukan rondaan dan mengedarkan risalah kempen pencegahan jenayah syariah di kawasan bandar Dungun,

Pengarah Program Skuad Sukarelawan Syariah Dungun, Ridzuan Mohd Noor berkata, rondaan secara berkala itu akan dilakukan di sekitar kawasan ‘panas’ yang sering dikunjungi anak muda dan pasangan pasangan yang belum berkahwin.

"Semoga dengan rondaan ini menjadi asbab kepada mereka untuk tidak lagi membuat maksiat, Insya-Allah. 

"Terima kasih kepada semua petugas Sukarelawan Syariah Kawasan Dungun, Penguatkuasa Pejabat Agama Daerah Dungun dan Polis Daerah Dungun yang sentiasa menyokong kami," katanya.


Tag: