KUALA NERUS, 16 Oktober- Setelah seri 2-2 dengan Sabah pada aksi peringkat Kumpulan B semalam, pasukan Terengganu bangkit mengatasi Pahang dalam perlawanan kedua untuk layak ke suku akhir Kejohanan Bola Sepak SUKSEM IX 2024.
Pada perlawanan yang berlangsung pagi tadi, Terengganu mendahului Pahang1-0 pada separuh masa pertama, namun pelawat berjaya menyamakan kedudukan pada awal babak kedua.
Kedua-dua pasukan berhempas-pulas menambah jaringan untuk merebut tempat ke suku akhir dan Terengganu akhirnya memperoleh peluang terbaik apabila dihadiahkan sepakan penalti.
Mendahului 2-1 hasil jaringan menerusi sepakan penalti, Terengganu berjaya menjarakkan kedudukan dengan satu lagi jaringan bagi menutup peluang Pahang untuk mara.
Pengurus pasukan, Ahmad Shahrizal Yahaya berkata, sebagai tuan rumah, Terengganu perlu menyajikan aksi terbaik sepanjang kejohanan berlangsung.
"Semalam kita ada peluang (untuk menang), tetapi tidak dapat diterjemahkan kepada gol. Kita mendahului 2-0 bagaimanapun, kelekaan menyebabkan Sabah dapat menyamakan kedudukan dalam tempoh kurang 10 minit.
"Hari ini pula, kita ambil mudah ketika lawan Pahang, kemungkinan pemain fikir kita dapat seri dengan Sabah jadi ambil mudah bertemu Pahang yang tewas dengan Sabah semalam.
"Alhamdulillah, kita menang dan kalau ikut keputusan hari ini, kita layak ke suku akhir untuk bertemu pasukan dari Kumpulan D samada Sarawak, Negeri Sembilan dan Perlis," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas perlawanan di Padang C, Kompleks Sukan Negeri Terengganu.
Tambahnya, peluang ke suku akhir perlu dimanfaatkan sebaik mungkin.
"Kita bermain sebagai tuan rumah, jadi apa yang disasarkan ialah untuk layak ke peringkat akhir.
"Mungkin di kalangan pemain, perlu lebih banyak bermain secara berpasukan bukannya untuk tunjuk kemahiran dalam permainan.
"Lebih-lebih lagi ketika bermain secara karnival ini, kita perlukan rehat yang cukup, mengelakkan kecederaan serta tidak mengutip kad yang sia-sia," ujarnya.