SUKSEM: Cenderamata Dari Terengganu Jadi Sisipan Kenangan

KUALA TERENGGANU, 19 Oktober- Cenderamata bertemakan Temasya Sukan SUK Se-Malaysia kali ke-9 (SUKSEM IX) mendapat sambutan hangat dari kalangan peserta dan pengunjung yang hadir.

Memasuki hari terakhir, cenderamata ini masih boleh didapatkan di Ar-Riyadah Residence selain akan turut dibuka pada majlis penutup malam ini.

Pengerusi Jawatankuasa Jualan,  Keusahawanan dan Tugas-tugas Khas, Maldiana Abd Patah pada temasya sukan kali ini menyifatkan, cenderamata yang dibuat mendapat respon positif para atlet dari kontinjen yang bertanding.

"Saya dimaklumkan, beberapa penganjuran terakhir sebelum ini tiada jualan cenderamata khusus bagi temasya, mungkin ada suatu waktu dahulu tetapi ramai memaklumkan tiada. Jadi, ketika saya diberi tugas ini saya putuskan untuk buat beberapa produk bertemakan SUKSEM IX dan hasilnya ada lebih 10 produk yang dijual.

"Sewaktu majlis perasmian, ramai pengunjung yang tengok dahulu. Tetapi, selepas itu ramai yang datang membeli, tambahan pula kita juga edarkan risalah jualan membolehkan ramai yang buat tempahan. Paling saya gembira apabila pasukan badminton Pahang memakai baju SUKSEM IX untuk bermain di perlawanan akhir baru-baru ini.

"Saya juga berterima kasih kepada ahli-ahli jawatankuasa saya yang banyak membantu melakukan penghantaran tempahan ke hotel-hotel penginapan kontinjen dan venue pertandingan, termasuk secara pos kepada pembeli," katanya yang turut berterima kasih kepada atlet-atlet SUKSEM yang memberikan sokongan.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Ar-Riyadah Residence, semalam.

Tambahnya, SUKSEM IX adalah satu jenama ekslusif yang harus diketengahkan.

"SUKSEM adalah jenama sebagaimana SUKMA. Jadi setiap tuan rumah wajar buat produk bertemakan SUKSEM pada setiap penganjuran yang menunjukkan identiti negeri berkenaan.

"Kalau di Terengganu kali ini, kami cuma meletakkan identiti Terengganu iaitu warna asas hitam dan putih pada jersi serta baju yang dijual. 

"SUKSEM itu ekslusif dan menjadi peluang kepada setiap tuan rumah untuk menonjolkan ciri-ciri kenegerian mereka pada produk yang dijual sebagai kenangan para atlet dan pengunjung," katanya.

 

 

 


Tag: