KUALA NERUS, 15 Oktober- Pasukan Boling Padang Terengganu melakukan kejutan apabila bangkit mengatasi pasukan Perlis 5-0 untuk kemenangan pertama dalam aksi peringkat kumpulan acara boling padang Temasya Sukan SUK Se- Malaysia Kali ek-9 (SUKSEM IX), hari ini.
Dalam perlawanan yang berlangsung di Arena Lawn Bowl Terengganu itu, Perlis pada awalnya mendahului Terengganu dalam kategori regu lelaki, regu wanita dan wanita bertiga menjadikan kedudukan 3-2.
Namun, pada masa berbaki sekitar 15 minit terakhir, regu lelaki yang ketinggalan dengan mata 1-7 bangkit mengatasi lawan untuk menang dengan keputusan 10-8.
Semangat kebangkitan turut meresap kepada regu wanita yang sebelum itu ketinggalan 10-11, dan mereka juga melakukan 'comeback' dengan kemenangan 18-11.
Ketika loceng masa dibunyikan, Terengganu selesa dengan kemenangan dalam empat kategori untuk mendahului lawan setelah dua kejutan dilakukan dan keputusan selesa pasukan regu campuran (menang 17-6) serta lelaki bertiga (37-2).
Tetapi, pasukan wanita bertiga yang masih terikat mata 8-8 dengan Perlis pada set terakhir berjaya mendapatkan satu mata untuk melengkapkan kemenangan selesa pasukan Terengganu.
Terengganu menang 5-0 ke atas Perlis dan turut menewaskan Sarawak 4-1, pada sebelah petang dalam satu lagi aksi peringkat kumpulan.