KUALA NERUS, 15 Oktober - Para kontinjen di Temasya Sukan SUK Se-Malaysia (SUKSEM) diingatkan agar tidak menjadikan acara sukan itu sebagai gelanggang untuk beradu kekuatan semata-mata sebaliknya ia perlu dijadikan platform untuk saling bertukar pandangan memperkasakan negeri masing-masing.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja berkata selain itu ia juga boleh dijadikan medan untuk menjalinkan persahabatan serta kesatuan yang kuat antara semua kakitangan pejabat-pejabat SUK seluruh Malaysia.
"Temasya SUKSEM pada kali ini bakal memperlihatkan sebanyak 12 pejabat SUK seluruh Malaysia yang berentap merebut johan keseluruhan menerusi 10 acara yang dipertandingkan.
"Temasya pada kali ini melibatkan seramai lebih 2,448 atlet, pegawai dan urus setia kejohanan daripada 12 pejabat SUK seluruh Malaysia.
"Ini tidak termasuk ketua-ketua jabatan yang turut hadir menyokong pasukan masing-masing yang akan bertanding serta pasukan teknikal kejohanan yang akan menjayakan temasya sukan ini yang dianggarkan lebih 500 orang yang akan turut serta," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Temasya SUKSEM Kali Ke-9, di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Gong Badak, di sini, semalam.
Majlis perasmian itu telah disempurnakan oleh Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.
Mengulas lebih lanjut, Tengku Seri Bijaya Raja berkata, penganjuran sukan itu pada kali ini akan turut memberi rangsangan ekonomi kepada penduduk setempat.
"Ini dapat membantu ekonomi penduduk tempatan di sekitar Kuala nerus dan Kuala Terengganu khususnya yang akan mendapat limpahan ekonomi daripada penganjuran pada kali ini," ujar beliau.
Dalam pada itu, Ahmad Samsuri merakamkan tahniah atas kejayaan penganjuran SUKSEM itu.
"Saya difahamkan pejabat SUK Terengganu hanya mengambil masa kurang dua bulan dilantik sebagai tuan rumah buat pertama kalinya terus mengambil tanggungjawab dan memulakan persiapan ke arah pelaksanaanya pada kali ini.
"Mewakili kerajaan negeri, saya mengucapkan terima kasih kepada Jawatankuasa Pengelola dan seluruh jentera, persatuan-persatuan sukan, para kontinjen dan semua yang terlibat kerana dapat berganding tangan menjayakan Temasya SUKSEM Kali Ke-9 yang gemilang ini," ujarnya.