• 18 Okt 2024 | 15 Rabiul Akhir 1446

SUKSEM : Regu Wanita Bantu Terengganu Raih Emas

KUALA TERENGGANU, 17 Oktober - Pasukan badminton Terengganu memperoleh emas setelah regu wanitanya berjaya menghadiahkan kemenangan dalam aksi penentu di perlawanan akhir menentang Sabah di Temasya Sukan SUK Se-Malaysia Kali Ke-9.

Terengganu walaupun pada awalnya selesa mengatasi Sabah 2-0 melalui regu pegawai dan regu veteren, terpaksa berhempas pulas setelah Sabah berjaya menyamakan kedudukan 2-2 menerusi dua regu dalam acara terbuka.

SUK Terengganu berjaya dinobatkan pemenang pingat emas setelah regu wanitanya mencipta kemenangan sekali gus meletakkan kedudukan akhir 3-2.

Pengurus Badminton, SUK Terengganu, Mohd Asrur Omar berkata kemenangan di peringkat akhir itu menjadi bonus buat pasukannya dan melepasi sasaran.

"Ini merupakan satu bonus untuk kita menjuarai kejohanan badminton SUKSEM pada kali ini kerana pasukan yang kita hadapi bukan calang-calang sebaliknya merupakan juara bertahan pada edisi yang lepas.

"Alhamdulillah, ini merupakan kejayaan yang cukup bermakna setelah kita mengharungi segala cabaran yang boleh dikatakan semua negeri yang menyertai acara ini menghantar pasukan yang kuat," ujarnya.

Beliau yang juga merupakan Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan (Kewangan) berkata demikian ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), pada Perlawanan Akhir Kejohanan Badminton SUKSEM di Stadium Negeri, di sini, hari ini.

Tambah beliau, pada edisi yang lalu Terengganu hanya mampu melangkah sehingga ke peringkat suku akhir

"Tahniah juga kepada pasukan saya atas kemenangan ini setelah berusaha dan memberikan komitmen yang terbaik terutamanya kepada pemain, tiada dilupakan pihak pengurusan arasan dari Pejabat SUK yang turut hadir memberikan sokongan," ujarnya. 

Dalam pada itu, Timbalan Setiausa Kerajaan Negeri Terengganu (Pengurusan) , Ab Rasid Jusoh telah menyampaikan hadiah kepada pemenang kejohanan badminton itu iaitu Terengganu (emas), Sabah (Perak) dan Sarawak (gangsa).