SUKSEM : Terengganu Mula Langkah Kanan Dominasi Badminton

KUALA TERENGGANU, 15 Oktober - Kontinjen Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu (SUK) menjadi tumpuan pada pagi ini apabila tampil cemerlang menerusi sukan badminton di Temasya Sukan SUK Se-Malaysia (SUKSEM) kali ke-9 yang bermula pada pagi ini dengan mengalahkan SUK Melaka.

Kejayaan memenangi lima perlawanan menerusi dua regu lelaki, satu regu wanita dan perseorangan lelaki menyaksikan Terengganu bermula langkah kanan.

Pengurus Badminton SUK Terengganu, Mohd Asrur Omar berkata, pada tahun ini atlet badminton bersemangat untuk memperbaiki pencapaian pada tahun sebelum ini yang hanya berjaya mara ke peringkat suku akhir.

" Alhamdulillah, di peringkat kumpulan pasukan Terengganu telah melepasi halangan pertama pada pagi ini dengan menang kesemua set  5-0 melawan pasukan Melaka.

"Kita berharap agar momentum ini diteruskan untuk perlawanan kedua pada sesi petang ini dengan memastikan sasaran utama kita untuk muncul juara peringkat kumpulan akan dapat dicapai," ujarnya.

Beliau yang juga merupakan ketua Penolong Setiausaha Kerajaan (Kewangan)  berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), selepas berakhir perlawanan pasukan Badminton SUK Terengganu melawan SUK Melaka, di Stadium Negeri, di sini, hari ini.

Mengulas lebih lanjut Asrur berkata, secara tradisinya sukan badminton di peringkat SUKSEM selalunya didominasi oleh Sabah dan Sarawak.

"Kali ini kita melihat Johor pun ada sedikit peningkatan dan insya-Allah pada kali ini kita akan cuba menyaingi pasukan-pasukan ini.

"Namun perjalanan ini masih jauh masih terlalu awal, namun kita akan cuba mengatur strategi bagi memastikan edisi pada kali ini kita akan muncul sebagai juara," ujarnya.