Sultan Mizan Rasmi Pameran Warkah Emas DiRaja Terengganu


Sultan Mizan (tiga dari kanan) mencemar duli, berkenan merasmikan Pameran Iluminasi dan Warkah Emas DiRaja Terengganu di Kompleks Muzium Negeri di Kuala Terengganu hari ini.
KUALA TERENGGANU, 5 September - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah mencemar duli, berkenan merasmikan Pameran Iluminasi dan Warkah Emas DiRaja Terengganu di Kompleks Muzium Negeri, di sini hari ini.

Kebawah Duli Tuanku Al-Sultan bertitah dan seterusnya berkenan menyempurnakan perasmian pameran tersebut dengan memasukkan replika logo pameran ke dalam tempat khas yang disediakan.

Sultan Mizan kemudiannya berkenan melawat pameran di Ruang Foyer kompleks tersebut.

Sultan Mizan (tengah) mencemar duli dan berkenan menyaksikan corak keindahan 'Ragam Hias'  Mushaf al-Quran di Pameran Iluminasi dan Warkah Emas DiRaja Terengganu di Kompleks Muzium Negeri di Kuala Terengganu hari ini.
Baginda diiringi oleh Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Dato' Yahaya Ali, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ustaz Ariffin Deraman, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Mohd Zahari Md Azahar dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan DiRaja Sultan Mizan (YDSM), Dato' Mohd Fadzli Yusof.

Sultan Mizan (tengah) berkenan menyaksikan tulisan khat hasil karya anak tempatan di Kompleks Muzium Terengganu hari ini.
Turut mengiringi baginda, Pengarah Lembaga Muzium Negeri serta Ahli-ahli Lembaga Pemegang Amanah YDSM dan Ahli Jawatankuasa Induk Pameran Iluminasi dan Warkah Emas DiRaja itu.

Selepas selesai lawatan itu, Kebawah Duli Sultan Mizan berangkat pulang ke istana.



Tag: