Terengganu, Oman Meterai Perjanjian Kendali Industri Minyak, Gas
MARANG, 3 Mac - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah supaya masyarakat mengambil serius akan urusan Al-Quran bermula dari membaca, memahami serta menghayati seterusnya mengaplikasikannya dalam kehidupan seharian.
Baginda bertitah bahawa kitab suci Al-Quran merupakan panduan dan dasar bagi umat Islam dalam mengendalikan segenap aspek dan keperluan kehidupan.
“Intipati Al-Quran mestilah diterjemahkan dalam bentuk dakwah untuk memandu ummah khususnya pada zaman sekarang yang sangat memerlukan pendakwah yang benar-benar berilmu serta selari dengan pendekatan Al-Quran dan Sunnah.
“Berdampinglah dengan Al-Quran serta fahami dan hayatilah isi kandungannya tambahan pula mushaf-mushaf mudah didapati di mana-mana,” titah baginda.
Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah demikian pada Majlis Perasmian Penutup Majlis Tilawah Dan Hafazan Al-Quran Peringkat Negeri Terengganu Darul Iman 1444H/ 2023M di sini semalam.
Keberangkatan tiba baginda ke majlis berkenaan turut diiringi Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah dan Yang di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin.
Keberangkatan tiba baginda disambut Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bersama Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta pegawai-pegawai tinggi kerajaan negeri.
Baginda turut berkenan menyampaikan hadiah kepada semua pemenang dari pelbagai kategori yang dipertandingkan dalam majlis tersebut.
“Beta berharap semoga kita semua dapat memanfaatkan peluang keemasan berada dalam bulan Ramadan yang akan tiba tidak lama lagi dengan sebaik mungkin untuk mentadabbur Al-Quran serta memaknai setiap isi kandungannya dalam kehidupan seharian demi meraih redha Allah,” titah baginda.