Berita :
Sultan Terengganu Berangkat Menunaikan Solat Sunat Aidilfitri Di Masjid Al-Muktafi Billah Shah
Sultan Terengganu Berangkat Menunaikan Solat Sunat Aidilfitri Di Masjid Al-Muktafi Billah Shah
Ahmad Zaeem Zainudin
10 jam yang lepas
48

KUALA TERENGGANU, 21 Mac - Sultan Terengganu berkenan berangkat untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Al-Mukhtafi Billah Shah Ladang, Kuala Terengganu bersama 2500 jemaah pada satu syawal 1447 Hijrah bersamaan 2026 masihi di sini, hari ini.

Tepat pada 8.15 pagi, ketibaan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin diiringi oleh Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Dan Tengku Sri Setia Mahkota Raja, Tengku Muhammad Mu'az.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, Dato' Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Mohd Azmi Mohamad Daham, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negeri Terengganu serta Pegawai-pegawai Tertinggi Kerajaan Negeri.

Hadir sama, Mufti Negeri, Dato' Prof Madya Dr. Mohamad Sabri Harun.

Sebelum menunaikan solat Aidilfitri pada jam 8.30 pagi, Dr. Mohamad Sabri memberi taklimat ringkas solat sunat Aidilfitri sebelum mengetuai jemaah dalam menunaikan solat sunat hari raya di masjid tersebut.

Khutbah aidilfitri, bertajuk Nilai Dan Tertib Aidilfitri, turut disampaikan oleh Mufti Negeri, mengajak umat Islam untuk menekankan kepentingan kembali kepada fitrah suci selepas Ramadan, muhasabah diri tentang perubahan akhlak, serta cabaran menjaga ibadah di era digital.

Khutbah turut menyeru umat Islam agar tidak lalai dengan media sosial, mengelakkan budaya berhutang, dan mengamalkan sifat qanaah serta kemaafan.

Selepas selesai menunaikan solat Aidifiltri, baginda dan paduka-paduka anakanda berkenan mencemar duli meluangkan masa bersalaman bersama rakyat jelata diiringi bacaan selawat.

Setelah meluangkan masa bersama jemaah, Sultan Mizan, Tengku Muhammad Ismail dan Tengku Muhammad Mu'az berangkat ke makam Diraja yang terletak bersebelahan Masjid Al-Muktafi Billah Shah.


Ketupat

Artikel Berkaitan