Berita :
Sultan Terengganu Seru Amalan Ramadan Diteruskan, Hayati Aidilfitri Dengan Penuh Kesyukuran
Sultan Terengganu Seru Amalan Ramadan Diteruskan, Hayati Aidilfitri Dengan Penuh Kesyukuran
Ahmad Zaeem Zainudin
9 jam yang lepas
50

KUALA TERENGGANU, 21 Mac - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menyeru umat Islam agar menjadikan Aidilfitri sebagai medan memperkukuh ketakwaan dan meneruskan amalan soleh yang telah dipupuk sepanjang Ramadan.

Baginda bertitah, sambutan Syawal perlu dihayati dengan penuh kesyukuran serta dijadikan titik permulaan untuk kembali kepada fitrah dan meneruskan kehidupan berlandaskan ajaran Islam.

"Aidilfitri merupakan anugerah daripada Allah SWT kepada hamba-hambanya yang beriman dan taat kepada segala titah perintahnya. 

"Pada hari yang mulia ini, marilah kita menyambutnya dengan hati yang bersih, jiwa yang penuh kesyukuran dan semangat untuk memperkukuh uhwah sesama kita.

"Semoga segala amal ibadah dan ketaatan kita sepanjang Ramadan diterima oleh Allah SWT dan dijadikan sebagai penyuluh cahaya dalam kehidupan kita. Aidilfitri juga mengingatkan kita supaya kembali kepada fitrah manusiawi.

"Setelah sebulan berpuasa dan beribadah, melakukan kebaikan, kita didorong untuk meneruskan amalan soleh ini agar menjadi budaya dan amalan harian," titah baginda dalam Perutusan Khas sempena Hari Raya Aidilfitri 1447 Hijrah/2026 Masihi.

Baginda turut menzahirkan harapan agar semangat ibadah yang disemai sepanjang Ramadan terus menjadi panduan hidup dalam mencari keredaan Allah SWT serta sebagai bekalan di akhirat.

Dalam pada itu, Sultan Mizan menekankan bahawa Aidilfitri berperanan sebagai medan memperkukuh hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat pelbagai lapisan yang menjadi pemangkin kepada perpaduan dan keharmonian.

Selain itu, baginda juga mengingatkan agar golongan kurang berkemampuan tidak dipinggirkan, sebaliknya dibantu dan disantuni agar mereka turut merasai kegembiraan Aidilfitri.

"Ambillah peluang ini untuk menyantuni mereka dan membantu sekadar kemampuan agar mereka turut dapat merasakan kemeriahan hari raya. 

"Semoga dengan keprihatinan kita, ia dapat memberi sinar buat mereka untuk terus kuat berjuang mengharungi kehidupan ini," titah baginda.


Ketupat

Artikel Berkaitan