lightning-solid
Berita :
Sultan Terengganu Seru Umat Islam Amal Kesederhanaan, Elak Pembaziran Sepanjang Ramadan
Sultan Terengganu Seru Umat Islam Amal Kesederhanaan, Elak Pembaziran Sepanjang Ramadan
Ahmad Zaeem Zainudin
7 jam yang lepas
73

KUALA TERENGGANU, 18 Februari - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menyeru umat Islam agar mengamalkan kesederhanaan dan mengelakkan pembaziran sepanjang bulan Ramadan.

Perkara ini selaras dengan tuntutan agama Islam yang menekankan penghayatan sebenar ibadah puasa, khususnya didalam bulan yang sering dinanti-nantikan pada setiap tahun oleh umat Islam di seluruh dunia.

Dalam perutusan khas sempena Ramadan 1447 Hijrah, baginda menzahirkan kebimbangan terhadap kecenderungan segelintir masyarakat yang terlalu memberi tumpuan kepada juadah berbuka dan perbelanjaan berlebihan sehingga menjejaskan hikmah sebenar Ramadan.

"Dalam kehidupan hari ini, ramai yang terleka daripada hikmah sebenar Ramadan apabila terlalu fokus kepada juadah makanan yang berlebihan dan perbelanjaan yang tidak terkawal sehingga melupakan hakikat bahawa bulan ini sepatutnya menjadi satu latihan untuk kita menahan diri daripada segala bentuk berlebih-lebihan.

"Justeru, beta mengingatkan seluruh umat Islam supaya menghayati konsep kesederhanaan. Ramadan bukan ruang untuk bermewah-mewahan dan berbelanja secara melampau.

"Sebaliknya, ia adalah sifat yang dituntut agama dan menghayati hikmah puasa dengan berhemah dalam menyediakan juadah serta menyalurkan rezeki kepada mereka yang memerlukan melalui sedekah, infak dan zakat," titah baginda.

Baginda menegaskan bahawa amalan kesederhanaan bukan sahaja mencerminkan keindahan ajaran Islam, malah menjadi pemangkin bagi memperkukuh semangat kebersamaan dalam masyarakat melalui perkongsian rezeki dengan golongan yang memerlukan.

Sehubungan itu, Sultan Terengganu turut mengingatkan bahawa bulan Ramadan bukan sekadar ruang untuk memperbanyakkan amalan ibadah, tetapi juga sebuah madrasah rohani yang menguji kekuatan iman serta menzahirkan kecemerlangan peribadi insan.

"Sejarah umat Islam telah membuktikan bahawa kesabaran, disiplin diri dan kemurnian akhlak mampu melahirkan masyarakat yang unggul, dihormati dan menjadi contoh kepada manusia seluruhnya," titah baginda.

Perutusan itu menyeru umat Islam agar menjadikan setiap detik Ramadan sebagai peluang memperbaiki diri dan mempertingkatkan ketakwaan kepada Allah SWT dalam suasana penuh keinsafan dan kesyukuran.


Artikel Berkaitan