Sidang Kemuncak Antarabangsa Terengganu Kecam Genosid di Palestin
Sumbangan Tablet Tepat Pada Masanya
SETIU, 27 April - Rata-rata penerima tablet di bawah inisiatif Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu 2021 (BERKAT) gembira kerana sumbangan itu hadir tepat pada waktunya.
Ia susulan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melalui menterinya, Datuk Mohd Radzi Md Jidin mengumumkan sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdPR) akan kembali dilaksanakan.
Sesi PdPR selama dua minggu selepas sesi perayaan Aidilfitri adalah bagi mengurangkan risiko jangkitan yang mungkin berlaku di luar sekolah semasa musim perayaan.
Menurut pelajar tahun enam Sekolah Kebangsaan Kampung Bukit, Siti Nur Balqis Mazlan, tablet sumbangan kerajaan negeri itu akan lebih memudahkan beliau untuk fokus belajar secara dalam talian.
"Sebelum ni saya terpaksa meminjam telefon dengan emak saudara disebabkan tidak mampu beli yang lain. Terima kasih kepada kerajaan negeri atas sumbangan ini," katanya.
Seramai 50 orang pelajar yang layak menerima tablet dalam program penyerahan yang disampaikan oleh Pegawai Penyelaras DUN Langkap, Azmi Maarof pagi tadi di Dewan Komuniti Sejahtera Sri Langkap.
Azmi Maarof berpesan agar ibu-bapa atau penjaga sentiasa memantau penggunaan agar tidak disalahgunakan
"Semoga anak-anak pelajar dapat memanfaatkan sumbangan ini sebaiknya, gunakan dengan betul bagi menuntut ilmu.
Azmi Maarof turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Jabatan Penyelidikan Komuniti TSIS, Mohd Alghazali Abu Bakar dan Ketua Komunikasi Korporat Kumpulan Terengganu Incorporated (Terengganu Inc), Suridah Sufian atas segala kerjasama yang diberikan.