Pembatalan Pertemuan Anwar-Prabowo: Ahmad Amzad Desak Penjelasan Segera
Sungai Lasir Akan Dibuka Semula Minggu Hadapan
Ariffin semasa berucap di Festival Kenyir 2019. |
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, sungai berkenaan telah kembali pulih seperti sediakala dan pihaknya bersedia membuka semula lokasi tumpuan pelancong itu.
“Sungai Lasir kebelakangan ini menjadi topik tumpuan berikutan tular keadaan sungai yang keruh menggusarkan pengunjung tetap Tasik Kenyir terutama golongan kaki pancing.
“Pelancong jangan susah hati kerana air sungai berkenaan telah pulih. Bagaimanapun, kita sengaja lanjutkan tempoh penutupan seminggu lagi bagi memastikan keadaannya sebelum dibuka semula,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas perasmian Festival Kenyir 2019 di Pengkalan Gawi, semalam.
Ariffin bersama Sivarasa di Festival Kenyir, semalam. |
Festival berkenaan dirasmikan Timbalan Menteri Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Sivarasa K. Rasiah yang turut dihadiri Pengerusi KETENGAH, Dato' Zulkifli Mohamad dan Pengurus Besarnya, YM Tengku Ahmad Nazdri Tengku Musa.
Festival yang dianjurkan setiap tahun itu menyajikan 35 acara yang menarik tumpuan ramai antaranya, pelbagai pertunjukan dan acara sukan air selain pameran produk kebudayaan negeri.
Dalam pada itu, Ariffin menyatakan tindakan segera yang diambil kerajaan negeri dan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) untuk menghentikan pembalakan serta pembinaan jeti membantu pelan mitigasi dilaksanakan dengan spesifkasi yang betul bagi mengatasi pencemaran sungai Lasir.
“Buat sementara, pihak pengurusan Tasik Kenyir mengalihkan tumpuan pelancong ke Air Terjun Saok yang berjarak kira-kira 8 km dari Pengkalan Gawi sepanjang proses baik pulih sungai Lasir,” katanya.