Suntikan Kecantikan Vitamin C Tidak Dapat Kelulusan KKM
Basir bersama Mohamad melakukan gimik perasmian pada Program Sambutan Karnival Farmasi Bersama Duta Kenali Ubat Anda di Seberang Takir, Kuala Nerus, semalam |
Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) memberi amaran tegas kepada peniaga termasuk pengusaha ubat ubatan dan kosmetik agar tidak menjual produk yang tidak berdaftar dan kosmetik yang tidak bernotifikasi.
Malah, pengguna juga dinasihatkan supaya mengelakkan pembelian ubat-ubatan khususnya produk kecantikan yang tidak mendapat kelulusan kementerian melalui atas talian.
Pengarah jabatan itu, Dr Mohammad Omar berkata terlalu banyak produk kecantikan terutama suntikan vitamin C tidak mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Katanya, buat masa ini memang tiada produk suntikan mendapat kelulusan daripada kementerian tetapi banyak dijual di negara ini.
“Malah, Jabatan Kesihatan Negeri melalui Cawangan Penguatkuasa Farmasi merampas 1,000 jenis ubat-ubatan dan kosmetik yang didapati melanggar peruntukan undang-undang yang dikuatkuasa kementerian bernilai hampir RM600,000.
"Rampasan berkenaan hasil daripada risikan dan serbuan terhadap premis perniagaan dan persendirian di seluruh negeri bermula Januari hingga Oktober lalu," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Sambutan Karnival Farmasi Bersama Duta Kenali Ubat Anda di Seberang Takir, Kuala Nerus, semalam.
Hadir merasmikan program itu, Pegawai Pembangunan Kuala Nerus, Dato' Basir Ismail.
Mohammad Omar berkata, sebahagian besar rampasan terdiri daripada ubat yang tidak berdaftar termasuk kosmetik tidak bernotifikasi dengan jumlah rampasan 953 jenis bernilai RM500,000.
"Sesetengah ubat dan kosmetik yang dirampas itu mengandungi racun yang disenarai di bawah Akta Racun 1952 seperti steroid, merkuri, hydroquinone, sibutranjbe dan agen peransang seks seperti sildenafil.
"Malah, sepanjang Januari hingga November ini, sebanyak 47 operasi serbuan sudah dijalankan atas premis yang disyaki melakukan kesalahan dibawah Akta RacuN 1952 dan Akta Jualan Dadah 1952 termasuk sembilan premis kediaman yang disyaki menjalankan perniagaan ubat-ubatan dan kosmetik tidak berdaftar,"katanya.