KUALA TERENGGANU, 17 Julai- Pemilihan Surah Al-Jumuah dalam Program Terengganu Bertadabbur Siri II amat bertepatan dalam memberi panduan kepada cabaran dalam kehidupan sosial yang dihadapi umat Islam pada masa kini.
Yang Dipertua Maidam, Dato’ Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, dalam konteks semasa surah berkenaan memberikan makna yang cukup signifikan kerana berupaya mengubah kerangka fikiran dan karakter muslim dalam aspek sosial.
“Surah Al-Jumuah ini sangat tepat untuk kita jadikan sebagai model ikutan kerana ayat pertama disebutkan kepada kita adalah tentang bertasbih dan berzikir kepada Allah, juga ayat ke-11 iaitu ayat terakhir surah menyebut sedemikian rupa.
“Jadi isu sosial yang agak ketara dalam masyarakat pada hari ini adalah berkaitan dengan masalah mental termasuk kemurungan dan penagihan dadah kemungkinan disebabkan tidak beroleh ketenangan.
“Antara yang disebutkan dalam ayat pertama surah ini jika sekiranya kita hendak mencari ketenangan, hendaklah kita dekatkan diri dengan al-quran dan banyakkan berzikir,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Program Terengganu Bertadabbur Siri II yang berlangsung di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam, semalam.
Mengulas lanjut katanya, ayat ini turut menyatakan mengenai kepentingan zikir kepada umat Islam dalam mencari ketenangan hakiki daripada Allah.
“Dalam ayat pertama (surah) ini meminta kita banyakkan zikir, yang pentingnya zikir itu, kita hendak galakkan umat Islam dengan al-quran dan banyakkan berzikir supaya terus mendapat ketenangan dan insya-Allah segala penyakit mental, jiwa dan sebagainya akan terhapus.
“Bukan saya katakan zikir sahaja boleh menyelesaikan masalah, tetapi antara amalan atau perkara yang boleh diusahakan,” ujarnya.