• 08 Sept 2024 | 4 Rabiul Awal 1446

‘T- Mahir’ Bantu Kurangkan Pengangguran Belia


KUALA TERENGGANU, 3 Mei - Program Terengganu ‘Skills And Employment Hub’ (T-Mahir) yang dicadangkan dapat membantu mengurangkan isu pengangguran di kalangan belia di negeri Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, agensi tersebut dilihat akan dapat menyelesaikan hal yang berkaitan dengan anak muda.

“Kita tahu bahawa  isu pengangguran ini bukan isu di Terengganu sahaja  bahkan di mana-mana pun. Kita  akan lihat di antara kaedah  penyelesaian kepada isu ini adalah  seperti yang dicadangkan dalam kertas kerja T-Mahir iaitu dengan mengoptimakan  belia-belia kita melalui T-Volt (Terengganu Volunteer).

“Sekolah yang berkaitan dengan  kemahiran untuk melatih para belia dan seterusnya memberi tunjuk ajar bagaimana mencipta peluang pekerjaan daripada kemahiran yang telah mereka dapati,” jelasnya.


Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam berkata demikian dalam sidang media pada Majlis Perundingan Belia Negara Peringkat Negeri Terengganu Sidang 1 Penggal Ke-32 Sesi 2019-2020 di Wisma Darul Iman, semalam.

Menurutnya, terdapat banyak pusat kemahiran yang ada sama ada yang dimiliki kerajaan negeri ataupun kerajaan persekutuan seperti Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Akademi Binaan Malaysia (ABM), Pusat Pembangunan Kemahiran Negeri Terengganu (TESDEC), Kolej Universiti TATI dan sebagainya.

Selain daripada itu, beliau berkata, para belia harus membuang sikap memilih pekerjaan.

“Sikap belia adalah perkara yang perlu dan harus  kita perhatikan  supaya sikap memilih peluang pekerjaan, sikap untuk berani keluar negeri  dan  sikap tidak terlalu bergantung kepada  peluang pekerjaan daripada kerajaan  mahupun daripada pihak swasta.


“Ini antara  perkara yang perlu kita tangani  dari sudut perubahan minda  setiap para belia kita sendiri,” ujarnya.

Mengulas tentang Majlis Perundingan Belia Negara, beliau berkata, seramai 110 perwakilan terdiri daripada wakil-wakil  daripada  pertubuhan dan persatuan  belia peringkat negeri yang bergabung di bawah Majlis Belia Negeri Terengganu menyertai program itu.

“Alhamdulillah dalam persidangan  yang baru selesai, sebanyak 11 usul dan satu kertas kerja telah dibentang dan diberi respon oleh pihak yang berkaitan.

“Insya-Allah apa yang  dibentang oleh wakil daripada Majlis Belia Terengganu dan MAYC sebentar tadi  kita akan jadikan  sebagai satu agenda  untuk  kita mencari jalan penyelesaian  kepada  setiap usul-usul yang telah pun dibentang  dan dinyatakan  responsnya oleh agensi yang berkait dengan negeri ataupun persekutuan,” tambah beliau.

Tag: