• 21 Sept 2024 | 17 Rabiul Awal 1446

Tabung Bantuan COVID-19 Terengganu Sebagai 'Emergency Fund' Sekiranya Krisis Berlanjutan


Dr. Samsuri ketika menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penduduk di Pulau Redang.

KUALA TERENGGANU, 19 April- Tabung Bantuan Covid-19 Terengganu akan dipersiapkan sebagai dana kecemasan negeri itu dalam menghadapi krisis berlanjutan berikutan pandemik Covid-19 yang melanda dunia ketika ini.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, tabung yang dilancarkan sejak hujung Mac lalu kini mengumpulkan lebih RM4 juta yang sebahagian besarnya disumbangkan oleh penderma-penderma korporat daripada syarikat-syarikat dan orang perseorangan.

“Setakat ini, kita belum lagi gunakan tabung ini kerana kita menjangkakan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan krisis ini tidak akan selesai dalam waktu yang singkat.

“Kita kena merangka perjalanan yang agak panjang dan kita akan jadikan Tabung Bantuan Covid-19 ini sebagai satu ‘emergency fund’ (dana kecemasan) untuk menyelesaikan urusan yang berkait dengan pandemik ini,” katanya.
Dr. Samsuri dan ADUN Batu Rakit bersama-sama menyampaikan bantuan kepada penduduk.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan bantuan berupa barangan keperluan kepada 40 penerima di Pulau Redang, hari ini.

Dr. Samsuri memaklumkan, seramai 262 keluarga di Pulau Redang akan menerima bantuan tersebut bagi membantu meringankan beban yang ditanggung berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan sejak 18 Mac lalu.

“Pemberian sumbangan ini ada beberapa peringkat. Dengan kerjasama Polis DiRaja Malaysia (PDRM) hari ini kami turun memberikan sumbangan kepada 40 keluarga dan selebihnya akan diagihkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Rakit, Bazlan Abd. Rahman pada 22 April ini.
MB bertanyakan khabar salah seorang penerima sambil diperhatikan ahli Parlimen Setiu.

“Alhamdulillah, yang paling pentingnya ialah kami dapat turun bersama-sama dalam Muafakat Nasional (MN) di negeri Terengganu ini dan kita akan bergerak dari satu fasa ke fasa yang berikutnya bersama parti Pas dan UMNO untuk menterjemahkannya juga di tempat lain di seluruh negeri,” katanya.

Turut hadir, Ketua Polis Terengganu, Dato’ Roslee Chik; Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak; Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir; ADUN Batu Rakit, Bazlan Abd Rahman  dan Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit,  Mohd Shafizi Ismail.

PPD Batu Rakit, Mohd Shafizi turut serta membantu dalam menyampaikan sumbangan bersama MB Terengganu.



Tag: