Tabung Bantuan Kecemasan Gaza Hotel Permai Cecah RM10 Ribu


KUALA TERENGGANU, 7 Julai- Keikhlasan orang ramai yang menyumbang untuk Tabung Bantuan Kecemasan Gaza yang diwujudkan Hotel Permai sepanjang Ramadan lalu bukti rakyat negara ini sangat prihatin terhadap insan yang memerlukan.

Pengurus Besar Hotel Permai, Noralizan Abdul Rahman berkata, Tabung Bantuan Kecemasan Gaza adalah satu projek usahasama Aman Palestin Terengganu dengan Permai Hotel.

Katanya, konsep ‘Berbuka Sambil Beramal’ turut melibatkan orang ramai di mana RM1 daripada setiap jualan baucar Bufet Ramadan di Permai Hotel akan disalurkan ke Tabung tersebut dan seterusnya, pihak Aman Palestin akan memainkan peranan mereka dalam usaha menyampaikan sumbangan itu sehingga tiba ke bumi Gaza.


“Kami rasa terpanggil untuk bekerjasama dengan Aman Palestin ini setelah mengikuti perkembangan yang berlaku di Gaza di mana banyak nyawa telah terkorban dalam beberapa siri serangan.

“Dengan kerjasama sebegini, secara tidak langsung umat Islam yang berbuka puasa di Permai Hotel Kuala Terengganu akan turut berpeluang untuk mengejar kerahmatan ganjaran pahala berlipat ganda bersesuaian dengan tema yang dibawa iaitu ‘Rahmat Iftar’,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Noralizan berkata, pihaknya telah menyerahkan cek sumbangan kepada wakil Aman Palestin, Ustaz Sirojul Afkar pada Majlis Tautan Mesra Aidilfitri 2019 Hotel Permai, baru-baru ini menjadikan jumlah terkumpul keseluruhan untuk dana Tabung Bantuan Kecemasan Gaza sebanyak RM9,436.

Katanya, usaha yang dijalankan Hotel Permai itu diharap akan dijadikan sebagai pencetus kepada syarikat-syarikat korporat lain dan dalam masa yang sama pihaknya turut mengalu-alukan kerjasama untuk program-program CSR dan seumpamanya.

Tag: