DUNGUN, 24 Januari - Ayat-ayat al-Quran bukan sekadar hikmah, sebaliknya ia merupakan panduan yang membawa kesejahteraan di dunia dan Akhirat.
Demikian titah disampaikan KDYTM Yang di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin sewaktu berkenan mencemar duli mewakili KDYMM Sultan Mizan Zainal Abidin dan membaca teks titah ucapan KDYMM seri paduka ayahandanya.
"Beta menyeru hadirin-hadirat dan rakyat jelatan keseluruhannya agar tidak hanya menjadikan al-Quran sebagai bacaan, tetapi menghayati dan mentadabbur isi kandungannya.
"Marilah kita terus berusaha mempraktikkan ajaran-ajaran al-Quran dalam kehidupan seharian. Semoga dengan berpegang teguh kepada wahyu Ilahi, kita mampu menjadi umat yang cemerlang.
"Beta mengucapkan tahniah kepada Kerajaan Negeri Terengganu khususnya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), atas usaha berterusan qari dan qariah berkualiti serta hafiz dan Hafizah yang unggul," titah Baginda ketika berucap menyempurnakan Majlis Penutup Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran peringkat Negeri Terengganu di Arena Merdeka, di sini semalam.
Terdahulu, keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Muda Terengganu, diiringi adindanya Tengku Sri Setia Mahkota Raja pada jam 9.00 malam disambut Menteri Besar, Dato' Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan isteri, To' Puan Seri Tuan Faizah Tuan Ab Rahman serta Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri, Dato' Mohd Nor Hamzah dan isteri.
Hadir sama menyambut keberangkatan tiba ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Nara Setia dan isteri, Pegawai Kewangan Negeri, Dato' Mohd Azmi Mohamad Daham dan isteri, serta Penasihat Undang-undang Negeri, Mohd Nawawi Ismail dan isteri.
Majlis dimulakan dengan persembahan ucapan Menteri Besar dan persembahan bacaan al-Quran oleh bekas pemenang qari dan qariah antarabangsa kelahiran Terengganu iaitu Ahmad Tarmizi Ali dan Nor Hidayah Abd Rahman.
Tengku Muhammad Ismail seterusnya berkenan mencemar duli menyampaikan hadiah kepada para pemenang sebelum berangkat pulang pada sekitar jam 10.30 malam.