KUALA NERUS, 22 Ogos - Kerajaan Kelantan mengucapkan tahniah kepada rakyat Terengganu kerana memilih PAS menjadi kerajaan negeri itu.
Datuk Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, Kerajaan Kelantan juga mengucapkan tahniah kepada Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosli Wan Ismail kerana sudi bersama kerajaan pembangkang pantai timur termasuk Kelantan dan Terengganu untuk memulakan sejarah perpaduan.
Katanya, ini berlaku kerana Allah ingin mengajar pemimpin kerajaan pantai timur tentang betapa penting perpaduan kuasa Melayu Islam.
Beliau berkata demikian di Majlis Himpunan 3 Menteri Besar Pantai Timur (HIMPUN) Di Kompleks Sukan dan Stadium Tertutup Gong Badak di sini sebentar tadi.
Turut hadir Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosli Wan Ismail, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato' Yahaya Ali, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Anggota Badan Perhubungan PAS dan UMNO ketiga-tiga buah negeri itu.
Ustaz Ahmad berkata, apabila umat Islam hilang kuasa, Islam, pendakwah dan umat Islam sewenang-wenangnya dipermainkan oleh musuh mereka.
Justeru itu kesatuan ummah perlu diperkasakan, agar umat Islam dan orang Melayu tidak mudah dipermainkan.
Beliau turut menyeru rakyat bersatu atas nama Islam untuk mengembalikan semula kekuasaan umat Islam di negara Malaysia.
"Selagi umat Islam tidak bersatupadu atas nama Islam dan membina negara atas nama Islam selagi itu kuasa Islam tidak akan dikembalikan di negara ini," tegas beliau.